Saksi yang merupakan Pegawai Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara, Shuzairizman Shuib ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Saksi ke-46 perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi kes SRC International Sdn Bhd nafi telah membocorkan mesej dan emel daripada telefon Blackberry berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pegawai Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM), Shuzairizman Shuib merupakan pegawai yang merampas peralatan digital daripada Pengurus Perhubungan AmBank Jalan Raja Chulan Joanna Yu pada empat tahun lalu.

Beliau  berkata demikian semasa soal balas peguambela Najib, Harvinderjit Singh juga mengaku selain dirinya hanya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja memiliki maklumat dan mennganalisis data dalam telefon itu.

Harvinderjit: Dari mana ini semua datang (kebocoran mesek BB, emel, pesanan Whatsapp dan sebagainya)?

Shuzairizman: Saya tak tahu.

Harvinderjit: Jika anda kata hanya anda dan SPRM ada transkrip mesej daripada BB yang dirampas (daripada pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu ada 2015), bagaimana kebocoran bukan daripada pihak anda?

Shuzairizman: Yang pasti bukan daripada saya.

Untuk rekod, Shuzairizman merupakan penganalisis Seksyen Forensik Digital BNM yang merampas peralatan digital daripada tiga pegawai Ambank – Joanna Yu, Crystal Yap dan Danial pada 6 Julai 2015.

Peralatan itu termasuk telefon Blackberry yang dirampas milik Yu.

Beliau terdahulu memberitahu diberi arahan dari mahkamah untuk mengambil data daripada telefon itu bagi membantu siasatan terhadap seorang ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Harvinderjit juga menyoalnya tentang penggeladahan di Ambank termasuk berkenaan pengambilan data.

Pegawai Bank Negara itu kemudian dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sebagai saksi ke-46 selepas peguam bela Najib itu membuat permohonan untuk diberi masa meneliti secara terperinci laporan Shuzairizman.

Beliau akan dipanggil semula pada Isnin ini untuk membantu mahkamah. -MalaysiaHazette