Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak memiliki rasional untuk melindungi penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin kerana beliau terbukti bersalah di bawah Akta Hasutan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, lebih pelik, PH kini menuntut pula supaya Akta Hasutan dihapuskan supaya boleh memberi lagi ruang dan kebebasan kepada kelompok radikal dan liberal bersuara di negara ini.

Tegas beliau, hari ini jelas di mata rakyat bahawa kerajaan PH tidak melindungi kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menjejaskan konsep pemisahan kuasa yang didukung selama ini serta menghakis keharmonian negara.

“Jika semalam, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi ada mempersoalkan di manakah pendirian PH semasa Raja dihina.

“Namun pemimpin DAP, PKR serta Amanah begitu bersungguh dalam bersolidariti untuk pendakwah bebas Wan Ji yang terbukti bersalah menghina institusi Raja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, Wan Ji hari berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan penangguhan hukuman penjara atas kesalahan menghasut.

Dakwa beliau, hal itu sejurus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan mengenai hukuman penjara setahun di bawah Akta Hasutan yang dikenakan terhadap Wan Ji.

“Persoalannya, mengapakah perlunya campur tangan politik dalam hal ini dan tindakan PH telah mencemarkan kedaulatan undang-undang serta institusi kehakiman negara,” soalnya. – MalaysiaGazette