Erra Fazira. foto NOOREEZA HASHIM, 19 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Artis terkenal Erra Fazira mengesahkan hubungannya dengan penyanyi yang juga juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi sudah berakhir.

Jelas ibu tunggal itu, mereka menamatkan hubungan kasih sejak Januari lalu.

Erra berkata, sekalipun dia dan Shahir sudah membawa haluan masing-masing, namun kedua-duanya masih berhubungan sebagai rakan biasa.

“Kami sudah move on dengan kehidupan sendiri. Saya tidak kecewa kerana saya tahu aturan Allah itu baik. Kami masih berkawan tapi tiada lagi hubungan istimewa.

“Dahulu memang ada perancangan untuk bahagia bersama, namun Allah tidak tunjukkan jalan dan tidak permudahkan,” kata Erra kepada sebuah portal hiburan.

Sebelum ini, Erra sering mengelak daripada bercakap mengenai Shahir, namun mengakui dia dan penyanyi itu berkawan baik sejak empat tahun lalu.

Erra bagaimanapun, tidak berkongsi apakah punca yang menyebabkan mereka berpisah.

“Sebagai seorang wanita apabila diberi harapan, sudah tentu ada rasa bunga-bunga tapi lama-lama kematangan mengatasi segalanya. Sampai bila?

“Saya tidak sedih, tidak boleh salahkan sesiapa kerana jodoh telah tiada,” luah Erra lagi.

Selain itu, Erra juga turut mengesahkan yang dia dijemput oleh Allah untuk menunaikan fardu haji.

Namun begitu, Erra tidak pula memaklumkan bila dia akan berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu. – MalaysiaGazette