KUALA LUMPUR – Tidak dapat dinafikan seks adalah satu keperluan kepada setiap pasangan, namun ia bukannya dengan sesama jantina seperti mana yang diamalkan oleh golongan lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT).

Aktivis masyarakat, Sharifuddin Hamid berkata, perkara itu tidak terkecuali kepada para pemimpin negara, apatah lagi berjawatan menteri yang menjadi contoh kepada rakyat.

Sharifuddin menegaskan, kerajaan perlu memastikan dalam kalangan Menteri sendiri bebas daripada budaya LGBT bagi mengelakkan negara ini hancur.

“Seks memang diperlukan tapi pada tempatnya bukan sesuka hati (sesama jenis)

“Lihat ketika zaman Nabi Luth dulu, mereka yang melakukan seks di luar tabii iaitu sesama jantina, apa jadi kepada mereka, hancur.

“Adakah anda nak negara ini hancur kerana perbuatan pemimpin-pemimpin ini. Saya harap tidak.

“Sebab itu kita beritahu kepada pemerintah, laksanakan undang-undang mengikut Rules of Law, undang-undang Islam pun nak dicemar dan ditolak,” katanya berucap pada Himpunan Tolak Pemimpin LGBT di Kompleks beli-belah Sogo, di sini, hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui dirinya seorang daripada dua lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan pada Mei lalu.

Haziq turut menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video itu, tetapi dinafikan timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq kemudiannya dipecat daripada jawatan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin susulan pengakuan itu dan diikuti PKR mengambil tindakan memecat keahliannya pada 3 Julai lalu.

Sharifuddin juga menggesa agar mana-mana Menteri agar kembali ke pangkal jalan sekiranya terlibat dengan amalan budaya songsang itu.

“Kepada pemimpin berkenaan, jika anda telah melakukannya, bertaubatlah, maka dengan itu anda tidak layak menjadi seorang pemimpin.

“Jika anda jadi pemimpin, anda akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk melakukan perkara sama, kita ada hukum, dunia dan akhirat.

“Saya minta kerajaan yang memerintah jangan dilayan akan permintaan mereka untuk membudayakan LGBT dalam negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette