Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan beberapa barangan keperluan dalam tempoh terkini, meletakkan rakyat terutama golongan suri rumah dalam keadaan tertekan.

Ternyata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu setahun mengambil alih kerajaan Persekutuan juga gagal untuk menyeimbangkan harga barangan keperluan harian sebagaimana dilaungkannya sebelum PRU14.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, terkini kerajaan meluluskan semakan semula tarif gas asli bagi sektor bukan tenaga di Semenanjung Malaysia untuk tempoh 15 Julai hingga 31 Disember ini.

Katanya, dengan semakan itu harga gas kini naik, menyebabkan tidak ada apa lagi yang tinggal dalam saku suri rumah.

“Dalam masa PH memfitnah Barisan Nasional (BN) dengan ‘Barang Naik’, rakyat terus dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi di bawah kerajaan baharu.

“Tidak ada apa yang tinggal dalam saku suri rumah lagi. Semuanya diambil oleh kerajaan PH yang sebelum ini melaungkan slogan pembelaan untuk rakyat miskin,” katanya menerusi ciapan Twitter beliau hari ini.

Media melaporkan, Gas Malaysia Bhd menyemak semula tarif gas asli bagi sektor bukan tenaga di Semenanjung Malaysia bagi tempoh dari 15 Julai 2019 hingga 31 Disember 2019.

Pengedar gas asli itu dilaporkan berkata, kerajaan telah meluluskan semakan semula itu melalui surat yang diterima daripada Suruhanjaya Tenaga, hari ini.

Di bawah rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR), yang menetapkan tarif asas untuk tempoh pengawalseliaan selama tiga tahun bermula Januari 2017, perubahan dalam kos gas yang akan melalui mekanisme Kos Gas Untuk Dilepaskan (GCPT) akan dibenarkan setiap enam bulan.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Gas Malaysia berkata purata tarif asas gas asli ditetapkan pada RM32.74 per satu juta unit termal British (MMBtu) mulai 15 Julai hingga 31 Disember 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast