Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas yakin kerjasamanya dengan UMNO akan memberi kemenangan sekurang-kurangnya 138 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Keyakinan itu disuarakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berdasarkan kajian yang dilakukan.

Kata beliau, jumlah itu bakal diperolehi jika gabungan undi dari penyokong Pas dan UMNO diterjemahkan pada PRU15 dengan memberi undi kepada calon pembangkang.

“Kajian yang dilakukan jika kita gabungkan jumlah undi yang diperolehi oleh Pas dan UMNO pada PRU14 yang lalu, keputusannya kita memenangi 138 kerusi Parlimen.

“Saya yakin gabungan undi ini akan diterjemahkan semula oleh kedua-dua penyokong pada PRU15 akan datang,” katanya pada sesi soal jawab majlis Dialog Rakyat Parlimen Kuala Nerus DI Gong Badak 3, Terengganu semalam.

Dr. Mohd Khairuddin berkata, atas asas itulah kerjasama Pas-UMNO akan menguntungkan kedua-dua pihak.

Katanya, kerjasama taawun siyasi antara kedua parti itu sudah sampai ke peringkat persetujuan bersama sebagai pakatan pembangkang.

“Dalam masa terdekat ini, kita juga akan isytihar Piagam Muafakat Nasional. Buat masa ini saya tidak boleh sebut lagi bila, sebab masih dalam perbincangan,” katanya.

Beliau berkata, hendak menubuh kerajaan, Pas-UMNO hanya perlu 112 kerusi Parlimen.

Paling sedikit pun, katanya, 125 kerusi Parlimen sudah dalam tangan jika dicampur dengan undi yang ada sekarang.

“Berbanding jumlah undi yang Pakatan Harapan (PH) menang hanya bezanya sekitar 1,000 undi ke bawah, kita boleh tambah lagi hingga 138 kerusi,” katanya.

Menurut Dr. Mohd Khairuddin, kajian itu cukup membimbangkan kerajaan PH hari ini menyebabkan terpaksa memperkenalkan cadangan umur mengundi seawal usia 18 tahun.

“Itu yang PH takut, menyebabkan mereka cadang umur 18 tahun boleh mengundi. PH harap boleh bertambah undi anak-anak muda kepada mereka.

“Namun, kajian yang kita buat hari ini, semua segmen pengundi sama ada anak muda, orang pertengahan, orang tua, kumpulan ahli elit atau ahli perniagaan, tidak lagi bersama dengan PH,” katanya. – MalaysiaGazette