Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan pihaknya mengeluarkan arahan menyita wang dalam akaun bank yang dimiliki sebuah firma petroleum China.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk menyita atau menahan wang dalam akaun bank China Petroleum Pipelina Engineering Ltd seperti dilaporkan media luar negara dari Singapura.

“Saya hanya ingin mengeaskan bahawa Kementerian Kewangan dan saya sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penyitaan,” katanya secara ringkas kepada wartawan di lobi Parlimen petang hari ini.

Reaksi berkenaan menyusul sebagai menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris Singapura, Straits Times melaporkan minggu lalu pihak berkuasa Malaysia telah menyita wang lebih RM1 bilion (US$243.25 juta) dari akaun bank HSBC yang dimiliki China Petroleum Pipeline Engineering Ltd.

Tindakan penyitaan itu didakwa menyusul selepas setahun kerajaan Malaysia membatalkan dua projek pemasangan paip dianggarkan bernilai USD$2.3 bilion (RM9.45 bilion) dari firma itu selaku kontraktor utama.

Kerajaan Malaysia pada Julai ini dilaporkan mengarahkan HSBC untuk memindahkan dana dalam akaun bank milik firma China itu kepada Suria Strategic Energy Resources, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.- MalaysiaGazette