KUALA LUMPUR – Pas Sarawak menyambut baik tindakan pembangkang membawa usul Peraturan Mesyuarat 36(12) untuk merujuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Pada masa sama, pihaknya juga menyokong laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin atas pendedahan laporan inkuari Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) agar suatu hukuman dikenakan atas sikap Guan Eng terhadap institusi tertinggi negara.
Ketua Dewan Pemuda Pas Sarawak, Hamdan Sani berkata, Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad telah merumuskan bayaran balik kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion telah dipindahkan ke dana Akaun Hasil Yang Disatukan bagi tujuan perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Kata beliau, kenyataan PAC itu juga membuktikan pemimpin utama DAP tidak memiliki integriti dan moral yang baik.
“Guan Eng acap kali mengulangi baik dalam Parlimen mahu pun ceramah beliau bahawa duit cukai GST sebanyak RM19.4 bilion telah ‘dirompak’ dan disalahgunakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Noraini menyatakan, PAC mengesan berlaku perlanggaran prosedur pemindahan wang berjumlah RM19.4 bilion dari hasil kutipan cukai GST apabila ia tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, dana itu tidak hilang tetapi dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Mengikut Seksyen 54(2) Akta GST 2014 dan Surat Ikatan Amanah Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST, menetapkan semua kutipan GST perlu diakaunkan terlebih dahulu dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST.
Menurut Hamdan, kenyataan pemimpin DAP yang jelas berbaur fitnah itu boleh dirujuk dalam portal atas talian bertajuk, Wang GST di’rompak’: Utamakan siasatan awam terbuka (siaran 9 Ogos 2018); ‘Kehilangan’ RM19 bilion LGE beritahu Najib (18 Ogos 2018); dan GST refund money ‘robbed’ by BN govt- says Guan Eng (7 Ogos 2018).
“Adakah rakyat boleh percaya lagi dengan Guan Eng? Selain berbohong kepada rakyat dengan janji manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Beliau juga mencalarkan imej dan kemuliaan Parlimen dengan jawapan, fakta dan data mengelirukan dewan serta tidak menghiraukan saranan pegawai kerajaan yang jujur dan telus dalam Kementerian Kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















