Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin (kanan) meluangkan masa melawat pameran pada Karnival Akademik Penyelidik dan Inovasi (Kapi 2019) di Institut Pendidikan Guru (IPG), Bandar Baru Bangi, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan mempergiatkan kempen penggunaan vape dalam kalangan murid di semua sekolah harian berikutan peralatannya yang semakin canggih dan mengelirukan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Amin Senin berkata, pihaknya telah mengeluarkan pekeliling pada tahun 2015 memberi penjelasan terperinci larangan penggunaan vape di sekolah.

Katanya, walaupun perkembangan terbaharu menyaksikan peralatan vape yang semakin canggih dan sukar dikesan, namun pekeliling 2015 masih boleh digunakan pakai oleh semua sekolah sehingga kini.

“Langkah yang kita ambil ialah mempergiatkan kempen ke sekolah, sebab kita lihat peralatannya semakin mengelirukan.

“Sebab itu kita minta ibu bapa dan masyarakat turut mengambil tanggungjawab bersama membantu pihak sekolah menangani masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Akademik Penyelidikan dan Inovasi peringkat kebangsaan 2019 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Pendidikan Islam di Bangi, Selangor hari ini.

Beliau mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Menurut Dr. Amin, kesalahan menggunakan vape sama seperti merokok dalam kawasan sekolah, cuma kaedah elektronik itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan guru, ibu bapa dan masyarakat.

Katanya, di peringkat sekolah, penggunaan itu sama sekali tidak dibenarkan dan bagi menangani masalah berkenaan, pihak sekolah mempergiatkan kempen kesedaran.

“Di peringkat sekolah, kita akan telah minta Bahagian Pendidikan Sekolah Harian untuk melihat semula (kempen), walaupun kita sudah keluarkan pekeliling, kita nak lihat semula kempen itu dipergiatkan.

“Kadang-kadang mereka menggunakan vape itu dengan sangkut pada tali dan gantung di leher. Guru tidak perasan kerana menyangkakan itu pen atau alat pemacu kilat (USB).

“Mereka guna benda itu (vape) sangkut di leher macam pendrive. Kita mungkin tidak perasan sebab ia alat baru. Jadi, saya minta kempen itu dilihat semula dan dipergiatkan semula,” katanya. – MalaysiaGazette