Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Kredibiliti Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dipersoalkan ahli parlimen pembangkang selepas mengakui anak lelakinya adalah setiausaha akhbar kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Perkara itu disahkan Mohamad Ariff selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) bertanyakan perkara tersebut.

“Ianya bukanlah sesuatu yang saya sembunyikan. Anak saya berumur 31 atau 32 sekarang dan dia bebas untuk bekerja di mana-mana. Lebih penting, saya bertindak bebas dan tidak dipengaruhi di dewan ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Jawapan Mohamad Ariff itu memaksa Ismail Sabri bertanya kembali sama ada ia boleh mewujudkan konflik kepentingan ekoran tiada tindakan dikenakan terhadap Guan Eng berikutan kenyataannya berhubung wang bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun lepas.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) awal minggu ini mengesahkan tidak berlaku kehilangan walaupun terdapat ketidakserasian dengan Akta GST 2014 apabila wang dimasukkan ke dalam Akaun Wang Disatukan, bukannya Akaun Amanah GST.

Sebelum ini, Guan Eng menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) ‘merompak’ dan menyalahgunakan wang sebanyak RM19.4 bilion yang merupakan wang tuntutan bayaran balik GST berkenaan. – MalaysiaGazette