KUALA LUMPUR – Pas Wilayah Persekutuan berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) ikhlas dalam kejayaannya mencapai kesepakatan dengan pembangkang menurunkan umur layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.
Pesuruhjayanya, Azhar Yahya berkata, kelulusan bersama yang dicapai pada persidangan Dewan Rakyat itu diharapkan suatu pengiktirafan yang tulus dan bertujuan mengaspirasikan golongan muda dalam mensejahterakan negara dan rakyat.
“Penyertaan golongan ini dalam sistem demokrasi berparlimen perlu dibantu dengan maklumat yang benar dan seimbang.
“Golongan muda ini juga perlu dijauhkan dari budaya politik kotor dan fitnah supaya mereka dapat membuat pilihan yang tepat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau menjelaskan, sistem pendaftaran automatik itu hanya akan tersedia dalam tempoh dua tahun lagi dan berkemungkinan pilihan raya umum akan diadakan lebih awal.
Oleh itu Azhar menyeru kepada semua individu yang layak untuk segera mendaftarkan diri sebagai pemilih tanpa menunggu daftar automatik.
Katanya, pendaftaran itu kini lebih mudah kerana boleh dibuat secara dalam talian di portal MySPR Daftar (https://mysprdaftar.spr.gov.my).
Organisasi Pas di semua peringkat juga, kata beliau diminta mempergiatkan usaha memberi kesedaran kepada orang awam untuk mendaftarkan diri sebagai pemilih. – MalaysiaGazette
















