Reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Pelancaran Strategi Celik Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JULAI 2019

KUALA LUMPUR- Kerajaan mempertimbangkan untuk menghadkan paras siling jaminan kerajaan seperti yang dilakukan terhadap hutang negara.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahatir Mohamad, kerajaan tidak mahu melihat jaminan terlalu besar seperti yang dilakukan terhadap 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

“Sepatutnya ada had kepada jumlah hutang yang boleh dijamin kerajaan.

“Jika hutang, kita hadkan tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Tetapi untuk jaminan kerajaan, kita tiada had.

“Terdapat jaminan dalam jumlah terlalu besar sehingga RM52 bilion,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di sini hari ini.

Baru-baru ini Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet menyarankan kerajaan menetapkan had berkanun atau had pentadbiran ke atas jumlah terkumpul jaminan kerajaan.

Manakala peruntukan dan perbelanjaan untuk membiayai liabiliti lain perlu diperincikan dan dilaporkan selain memperkenalkan kod butiran khusus dalam anggaran belanjawan tahunan.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan telah menjamin sejumlah RM266 bilion bagi pelbagai entiti.

Daripada jumlah jaminan kerajaan Persekutuan (RM266 bilion), jaminan yang perlu ditanggung adalah RM137.93 bilion dengan antaranya TRX City Sdn Bhd (RM3.6 bilion), SRC International (RM485 juta) dan 1Malaysia Development Bhd (RM5 bilion), katanya.

Beliau berkata, bagi jaminan yang tidak perlu ditanggung pula berjumlah RM128.54 bilion termasuk antaranya Perbadanan PR1MA Malaysia (RM5 bilion) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (RM37.7 bilion).

Dari sudut projek yang perlu ditanggung sepenuhnya seperti projek di bawah DanaInfra Nasional Bhd seperti Pan Borneo dan Transit Aliran Massa 1 yang meminjam sejumlah RM52.74 bilion, ia perlu diambil kira sebagai liabiliti walaupun dijamin kerajaan sepenuhnya selain merupakan projek yang baik untuk rakyat dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi.

Mustapa berkata, mengenai 1MDB, komitmen hutang adalah terdiri daripada nilai sukuk dan bon yang merangkumi prinsipal (RM32.2 bilion) dan faedah (RM11.4 bilion) malah setakat ini kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM8.9 bilion sebagai bayaran penyelesaian dan bayaran faedah. – MalaysiaGazette