Seorang peniaga menyusun cili dan sayur-sayuran untuk dijual kepada pelanggan semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JUN 2018
Cili antara barangan yang menyaksikan kenaikan pada bukan Jun.

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (CPI) Malaysia, yang mengukur teras inflasi, meningkat 1.5 peratus pada Jun kepada 121.4 berbanding 119.6 bagi bulan sama tahun sebelumya.

Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada kadar sifar pada 1 Jun 2018 yang lalu telah mendorong kepada kenaikan beberapa indeks kumpulan utama antaranya hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (+3.1 peratus), perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (+2.7 peratus), makanan & minuman bukan alkohol (+2.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.3 peratus).

Bagi perbandingan bulanan, IHP tidak menunjukkan perubahan berbanding bulan Mei 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, IHP pada suku kedua 2019 meningkat 0.7 peratus kepada 121.3 berbanding 120.5 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini disebabkan oleh indeks perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.0 peratus), makanan & minuman bukan alkohol (+1.5 peratus), minuman alkohol & tembakau (+1.5 peratus) dan pendidikan (+1.3 peratus).

Bagi perbandingan suku tahunan, IHP meningkat 0.4 peratus berbanding suku pertama 2019.

Secara keseluruhannya, indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan 2.3 peratus pada Jun 2019.

Menurutnya, kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan sayur-sayuran (+5.2 peratus), susu, keju & telur (+2.5 peratus) dan buah-buahan (1.1 peratus).

Antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah cili merah (+40.5 peratus), timun (+37.7 peratus), cili hijau (+22.7 peratus), cili burung (+22.3 peratus), yoghurt (+13.9 peratus), kerang (13.8 peratus) dan tomato (12.6 peratus).

Indeks Makanan di luar rumah meningkat 4.2 peratus pada Jun 2019 berbanding Jun 2018.

Kenaikan harga bagi burger, ayam goreng, Piza dan makanan laut, selain ikan telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan ini.

Tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+2.2 peratus), Pulau Pinang (+2.2 peratus) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (+1.7 peratus) menunjukkan kenaikan melepasi paras nasional IHP sebanyak 1.5 peratus pada Jun 2019 berbanding Jun 2018.

Sementara itu, Perak dan Johor menunjukkan kenaikan pada paras yang sama dengan IHP nasional.

Semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.

Kenaikan tertinggi telah direkodkan oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+4.0 peratus), Pulau Pinang (+2.8 peratus), Perak (+2.7 peratus) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (+2.6 peratus) dan kenaikannya melebihi paras indeks nasional kumpulan makanan & minuman bukan alkohol bagi bulan Jun 2019. – MalaysiaGazette