ENGLAND – Ole Gunnar Solskjaer dikatakan meminta pengurusan the Red Devils membayar klausa 90 juta pound yang ditetapkan Juventus untuk khidmat Paulo Dybala.

Laporan terbaharu di Old Trafford pula mendakwa Manchester United bersedia untuk memenuhi tuntutan nilai Juventus untuk bintang Argentina itu untuk direkrut ke Old Trafford.

Musim Liga Perdana Inggeris 2019/2020 bakal membuka tirai 12 Ogos ini iaitu kurang tiga minggu lagi.

Solskjaer selaku pengurus pasukan kini memberi tumpuan memperkuatkan jentera pertahanan pasukan yang kini dirombak dengan pemain muda bawah 24 tahun.

Bagaimanapun bekas legenda Manchester United itu juga mahu memperkuatkan serangan dengan pemain muda dan berbakat.

Dybala yang kini kurang diberi perhatian Juventus sejak kehadiran Ronaldo menyebabkan juara Serie A lapan kali ini bersedia melepaskan pemain itu dengan nilai tinggi.

Juventus meletakkan nilai antara 70 juta hingga 90 juta pound untuk mana-mana kelab yang ingin mendapatkan khidmat pemain tersebut.

United dikatakan optimis untuk mendapatkan Dybala dan Solskjaer mendesak kelab tanpa berfikir panjang membayar klausa yang diminta Juventus dan mendapatkan segera Dybala.

Dybala telah menjaringkan 78 gol dalam 182 penampilan bersama kelab Serie A itu.- MalaysiaGazette