KUALA LUMPUR – Umat Islam dan parti politik akan terus membuat laporan polis sehingga tertangkapnya penghina Nabi Muhammad dan dibawa ke muka pengadilan untuk dijatuhkan hukuman.
Terbaharu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas telah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook Wendy Loong yang memuatnaik posting menghina agama Islam.
Laporan dibuat kira-kira jam 9.30 malam tadi di Balai Polis Daerah Pasir Mas oleh ketuanya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohammed Noor.
Bercakap kepada media selepas itu, beliau memberitahu, pihaknya mewakili umat Islam di seluruh Kelantan dan Malaysia khususnya meminta polis segera menahan dan mendakwa pemilik akaun Wendy Loong.
Katanya, perbuatan itu telah mengguris hati dan perasaan seluruh umat Islam kerana sewenang-wenangnya menghina Nabi Muhammad, sedangkan Islam tidak pernah mempertikaikan agama lain.
“Kira-kira jam 9.30 malam tadi, Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan telah membuat laporan polis ke atas akaun facebook bernama Wendy Loong yang telah menghina junjungan besar Nabi Muhammad,” katanya.
Pada masa sama, UMNO Bahagian Wangsa Maju dan Pas Kawasan Wangsa Maju turut mengambil tindakan sama di Balai Polis Wangsa Maju Seksyen 1, semalam.
Laporan itu, menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menjalankan siasatan ke atas Wendy Loong kerana perbuatan biadabnya menghina Islam.
Sementara itu, kenyataan dari Unit Pemantauan Isu Hina Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan pihaknya sejak kelmarin menerima mesej aduan dalam jumlah yang sangat tinggi melalui aplikasi Whatsapp mengenai cakupan skrin penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh akaun Facebook bernama Wendy Loong.
Menurut kenyataan itu, hasil semakan dan carian di laman Facebook oleh unit tersebut mendapati, akaun berkenaan sudah tidak dijumpai.
“Sama ada akaun tersebut telah ditutup atau dinyah aktif oleh pihak Facebook,” katanya.
Sementara kata kenyataan itu lagi, Facebook Group bernama Kiub Batu Itu Berhala juga telah ditukar kepada status tertutup khusus untuk ahli group tersebut sahaja.
Bagaimanapun, usaha untuk mengesan pemilik akaun terbabit tetap akan diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan.
Justeru, pihak Jakim menyeru supaya semua rakyat Malaysia menjaga keharmonian antara agama dan kaum di negara ini selaras dengan inisiatif Kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Negara Rahmah.
Dalam pada itu, sebagai pengguna aplikasi, usah dikongsikan gambar penghinaan tersebut di mana-mana platform komunikasi kerana dalam tidak sedar, kita telah menjadi penyebar penghinaan Nabi walaupun akaun Facebook tersebut telah dinyahaktif. – MalaysiaGazette