Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan terus mengutamakan perkembangan ekonomi dan mempertimbangkan untuk melaksakan belanjawan pengembangan (expansionary budget) demi memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat dan mencapai sasaran ekonomi untuk kemakmuran bersama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, meletakkan keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi mampan dapat memastikan sasaran kemakmuran bersama dapat dicapai selepas kebimbangan berlakunya deflasi reda apabila kadar inflasi untuk Jun lalu meningkat kepada 1.5 peratus tahun ke tahun berbanding 0.2 peratus pada Mei.

Peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Jun adalah disebabkan oleh pertukaran rejim percukaian di mana pada Jun tahun lalu, kerajaan telah mengenakan kadar sifar kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Meskipun terdapat peningkatan harga pada Jun tahun ini, kadar inflasi untuk enam bulan pertama 2019 masih kekal pada 0.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ini juga menurut Guan Eng, menjawab kebimbangan tentang kemungkinan deflasi apabila IHP telah menurun sedikit sebanyak 0.7 peratus dan 0.4 peratus pada Januari dan Februari 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu, sebelum ia meningkat 0.2 peratus pada bulan Mac, April dan Mei.

“Petunjuk-petunjuk ini mengisyaratkan pertumbuhan ekonomi suku kedua tahun ini adalah menggalakkan selepas Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berkembang sebanyak 4.5 peratus pada suku pertama 2019 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kerajaan positif tentang prospek perkembangan ekonomi yang mapan pada suku kedua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast