KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan rakan politik yang sebenar hanya boleh ditemui ketika parti menghadapi waktu sukar.
Beliau mengakui hanya MIC dan MCA sahaja rakan sebenar yang kekal setia dalam BN ketika komponen lain keluar parti.
“Kalau kita nak cari kawan sebenar, bukan waktu kita senang, tapi kita cari ketika kita jatuh, ketika kita susah.
“Waktu itulah kita boleh menilai intan permata ataupun hanya kaca, kalian terbukti permata yang bernilai bukan saja untuk BN.
“Hari ini sekali lagi dibuktikan, bila kita hilang kuasa, MIC adalah rakan pertama yang memberikan semangat kepada UMNO untuk kita terus mempertahankan BN,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pergerakan MIC Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri Kebangsaan hari ini.
Asyraf Wajdi juga berkata, semua ahli dan komponen BN perlu mencontohi sikap setiakawan yang pernah ditunjukkan bekas Presiden MIC, Tan Sri V.T. Sambanthan ketika parti itu kehilangan banyak kerusi Parlimen pada tahun 1969.
“Ini bukan kali pertama kita diuji dengan kesusahan, betul kita kali pertama hilang kuasa tapi kita pernah diuji pada 1969 kita kalah banyak kerusi pada waktu itu.
“Inilah semangat pejuang-pejuang terdahulu yang ditunjukkan oleh Tun Sambanthan, presiden anda semua, yang menunjukkan semangat setiakawan tinggi,” katanya.
Asyraf Wajdi turut menggesa pimpinan MIC, MCA dan UMNO sendiri belajar untuk menjadi pembangkang yang berkesan daripada Pas.
“Pas berpengalaman dan berpuluh tahun jadi pembangkang, kita kena belajar daripada mereka. Kita jangan bongkak, jangan sombong, kita kena belajar daripada Pas, sebab orang kita ini bila jadi pembangkang, cepat goyah, bila jadi pembangkang tak sampai beberapa bulan mereka terjun daripada bahtera.
“Kapal kita ini masih belum karam, bahtera kita masih kuat, walaupun layarnya koyak, pendayungnya ada yang patah, sana sini bocor tapi ia tidak akan karam walau dilanda ombak dan badai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette