Muhammad Ezuan kembali berlatih di Lapang Sasar Subang yang dibuka selepas setahun untuk persiapan menjelang Sukan SEA Manila Ogos ini

KUALA LUMPUR – Penantian atlet menembak untuk menggunakan fasiliti di Lapang Sasar Menembak Subang akhirnya tercapai.

Mereka kembali beraksi di Kejohanan Menembak Selangor dan Kejohanan Menembak Antara Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2019 yang berakhir semalam.

Kejohanan yang berlangsung selama empat hari itu ternyata melegakan banyak pihak terutama atlet-atlet kebangsaan kerana mereka kini boleh beraksi di venue sebenar kejohanan yang dilengkapi fasiliti bertaraf antarabangsa.

Atlet kebangsaan, Muhammad Ezuan Nasir Khan mengakui lapang sasar Subang mempunyai aura tersendiri.

“Setiap kali saya beraksi di sini, perasaan berdebar sentiasa ada sebab inilah medan untuk saya membuktikan prestasi kepada semua pihak sebelum mengalas mana-mana cabaran peringkat antarabangsa.

“Menyertai kejohanan yang banyak mungkin dapat memberikan kelebihan tapi kadang-kadang ia juga boleh jadi satu perangkap.

“Apa-apa pun saya akan terus berusaha untuk capai apa yang saya sasarkan untuk diri, keluarga dan negara,” katanya Muhammad Ezuan.

Penembak kebangsaan itu kini giat menjalani latihan persiapan menghadapi kejohanan SEASA di Jakarta yang akan berlangsung pada 18-26 Ogos ini.

Tambahnya, ia juga merupakan medan terakhir pemilihan sebelum disenarai oleh Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) ke Sukan SEA Manila pada akhir tahun ini.

Sebagai rekod, Lapang Sasar Subang telah diarahkan tutup oleh  Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan ke atas kes jenayah selepas seorang remaja membunuh diri menggunakan senjata api dalam kejadian pada Jun tahun lalu.

Siasatan yang mengambil masa hampir setahun itu telah selesai dijalankan namun pihak NSAM perlu mematuhi beberapa peraturan walaupun mendapat kebenaran daripada pihak PDRM pada 21 Mei lalu untuk kembali beroperasi seperti biasa.

Sejak pihak PDRM mengeluarkan arahan penutupan lapang sasar berkenaan pada September tahun lalu, beberapa siri kejohanan menembak terpaksa ditangguh dan dibatalkan kerana pihak NSAM perlu melalui beberapa tapisan keselamatan bagi mengelakkan kejadian jenayah berulang.

peserta ATM
para Peserta Kejohanan Menembak Antara Perkhidmatan ATM 2019

Sementara itu Kejohanan Menembak Antara Perkhidmatan ATM  2019 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan penembak Persatuan Menembak TLDM (PMTLDM) terus sukar digugat.

Sebanyak 28 pingat emas telah dipertandingkan bagi acara Pistol dan Rifle kategori individu dan berpasukan. Kategori lelaki mempertaruhkan 18 pingat emas manakala selebihnya adalah kategori wanita. Jumlah keseluruhan pingat yang ditawarkan pada kejohonan kali ini adalah sebanyak 70 pingat.

Sebagai rekod, PMTLDM telah merangkul piala kejohanan secara keseluruhan dengan kutipan pingat bagi kategori lelaki sebanyak lapan pingat emas, 10 perak dan lima gangsa menjadikan rekod kemenangan kekal selama 21 tahun.

Bagi kategori wanita pula, PMTLDM berjaya membawa pulang piala kejohanan dengan kutipan pingat sebanyak 10 pingat emas, lima perak dan dua gangsa sekali gus mengekalkan rekod kemenangan selama 11 tahun berturut-turut.

Hadir menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Menembak kali ini ialah AKS Sumber Manusia Markas Tentera Udara, Mejar Jeneral Datuk Md Fauzi bin Salleh. Turut hadir Ketua Provos Marsyal ATM, Brigadier Jeneral Mislan bin Anuar, Ahli Majlis Persatuan Menembak Kebangsaan YBhg Laksamana Muda (B) Dato’ Musa bin Omar, Pengerusi Persatuan Menembak Tentera Darat, Brid. Jen Azman @ Norazman bin Selamat serta barisan pengurusan persatuan menembak bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan. – MalaysiaGazette