BEIRUT – Isteri Presiden Syria, Bashar al-Assad kini disahkan bebas sepenuhnya daripada kanser payu dara selepas setahun menerima rawatan.
Asma, 44, menyifatkan dia berdepan pengalaman yang meletihkan fizikal dan kesan lain selepas menjalani rawatan.
Pada masa sama, wanita pertama itu memuji sokongan diterimanya daripada anak-anak, ibu bapa dan ‘rakan sepanjang hayatnya.’
“Sudah pasti suami sentiasa berada di sisi saya.
“Rawatan saya sudah berakhir dan berjaya menewaskan penyakit kanser,” katanya dalam wawancara disiarkan di televisyen tempatan.
Dia muncul dengan gaya berambut pendek.
Pada Ogos tahun lalu, Pejabat Presiden Syria mengesahkan Asma memulakan rawatan akibat kanser payu dara.
Sejak itu, gambar wanita pertama yang berusia 44 tahun itu kelihatan kurus dan memakai skaf, kerap dikongsi dalam akaun media sosial pejabat presiden Syria.
Januari lalu, Asma menjalani pembedahan di sebuah hospital tentera di Damsyik, menurut pejabat berkenaan.
Wanita itu memiliki dua anak lelaki dan seorang perempuan bersama Assad.
Lahir pada 1975 di Britain, bekas pegawai pelaburan itu menggelar dirinya sebagai penyokong hak progresif dan dilihat sebagai wanita moden di sisi dinasti Assad. – MalaysiaGazette