KUALA LUMPUR – Nada berbeza DAP dalam isu tulisan khat, dulu mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Cina dan India sebenarnya tidak lebih daripada agenda serta gimik politik seperti yang biasa dilakukannya.

Malah, pandangan Penasihat DAP yang dilihat cuba meredakan situasi ‘panas’ dengan memberi gambaran beliau pernah mempelajari Jawi namun perkara itu tidak mengurangkan identiti Cina dalam dirinya tidak boleh di terima sama sekali.

Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja mendakwa, isu pengenalan tulisan khat ini juga merupakan antara cara untuk mengalihkan pandangan umum terhadap kemasukan pelajar bukan bumiputra ke program matrikulasi yang sehingga hari ini belum diselesaikan oleh kerajaan.

“Pelik bukan untuk secara tiba-tiba DAP boleh berubah nada tentang pengenalan penulisan khat yang sebelum ini ditentang? Ingat lagi 1972 ketika Kit Siang menentang khat serta Jawi? Adakah kerana kini mereka adalah kerajaan?

“Atau adakah ianya tidak lebih daripada cubaan untuk menang hati pengundi Melayu Islam? Kita hendak tanya kerana kita juga keliru dengan perkara ini, dulu bukan main tentang mengapa sekarang lain pula?

“Kami bukan tentang sesuatu yang baik mahupun mahu menjadi juara bercakap tentang agama atau kepercayaan kaum lain, tetapi siapa yang selalu sangat menentang sebelum-sebelum ini? Kita mahu tahu. Tolong jawab sekarang.

“Saya mohon tolonglah, tolonglah hentikan politik seperti ini, jangan cuba alih pandangan atau lari dari tanggungjawab, ada banyak isu yang belum selesai seperti isu matrikulasi yang semakin kurang kerusi ditawarkan kepada golongan bukan bumiputra.

“Bagaimana pula dengan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)? Isu minyak dan banyak lagi yang gagal diselesaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kini timbul ini pula?

“Jika kami bersuara, anda katakan kami menentang dan seperti menuding jari kepada kami. Kamu fikir rakyat tidak nampak? Banyak lagi isu dalam Kementerian Pendidikan (KPM) masih lagi tidak selesai, kini ini pula,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menerusi tulisannya yang dimuat naik dalam blognya pagi ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu memberitahu, beliau mempelajari Jawi ketika kali pertama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1969.

“Mungkin persoalan timbul adakah mereka yang mempelajari tulisan Jawi akan mengkhianati kaum, bahasa dan budaya Cina? Bagi saya jawapannya ialah negatif (tidak berlaku).

“Semasa saya kali pertama ditahan di bawah ISA pada tahun 1969, saya mengajar diri saya tentang tulisan Jawi sewaktu dalam tahanan.

“Ia tidak membuatkan saya kurang Cina, dan mungkin telah membantu menjadikan saya lebih rakyat Malaysia,” katanya dalam blog blog.limkitsiang.com

RT Raja menambah, sambil memberikan contoh kenyataan oleh Presiden Pertahan Kelantan, Nazman Che Ibrahim, pada 14 Februari 2008, seramai empat Ahli Parlimen DAP menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur menggesa DBKL menurunkan papan tanda yang tertera tulisan Jawi.

Antara gesaan mereka ketika itu ialah, Kuala Lumpur (KL) merupakan ibu kota yang mempunyai pelbagai kaum, ramai penduduk di KL tidak langsug faham tulisan jawi, kenapa DBKL masukkan tulisan yang kebanyakan orang tidak faham dalam papan tanda itu.

Perkara tersebut juga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rata-rata masyarakat Melayu Islam pada masa itu yang pada tanggapan mereka ‘rasis’ serta tidak bertempat.

Pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad Sabtu lepas pula senada dengan Maszlee mengulangi komitmen untuk meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP.  – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/05/dong-jiao-zong-desak-kerajaan-tangguh-pelaksanaan-pembelajaran-khat-jawi/

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/05/pelajari-khat-jawi-ramai-terkejut-dengan-kenyataan-kit-siang/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast