Peguambela dan Peguamcara, Datuk Setia Salehuddin Saidin berucap pada Siri Wacana Cendekiawan ATMA Kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu Di Sisi Perlembagaan Persekutuan : Antara Yang Tersurat & Tersirat di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 05 OGOS 2019.
Peguambela dan Peguamcara, Datuk Setia Salehuddin Saidin berucap pada Siri Wacana Cendekiawan ATMA Kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu Di Sisi Perlembagaan Persekutuan : Antara Yang Tersurat & Tersirat di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 05 OGOS 2019.

BANGI – Dakwaan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mempunyai kuasa dalam melantik Perdana Menteri dibidas peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin.

Menurut beliau, baginda boleh melantik sesiapa sahaja daripada mana-mana wakil di Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen kepada jawatan itu.

“Katakan dalam Parlimen, ada lebih individu mendapat sokongan majoriti, tidak kira daripada parti mana yang menang.

“Kalau parti itu kalah sekalipun, tapi pemimpin kepada parti itu mendapat sokongan majoriti, pada pandangan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik individu berkenaan yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

“Bayangkan kuasa yang telah termaktud di bawah Perlembagaan Persekutuan, jadi kenapa ada yang bising menyatakan itu bukan bidang kuasa Yang Dipertuan Agong,” katanya dalam siri wacana bertajuk Kedudukan Institusi Raja-raja Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan: Antara yang tersurat dan tersirat di Bangunan Canselori UKM, hari ini.

Wacana anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM itu turut menjemput Penasihat Undang-undang UNIMAP, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Abd Rahim Sinwan sebagai ahli panel.

Jelas Salehuddin, perkara itu termaktub dalam undang-undang yang menyatakan bahawa perlantikan Perdana Menteri adalah daripada Yang Dipertuan Agong.

Malah sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon, maka baginda boleh memilih mana-mana calon yang dirasakan boleh memegang jawatan Perdana Menteri.

“Banyak pihak kata Yang Dipertuan Agong tidak ada kuasa untuk melantik Perdana Menteri, dan yang punya kuasa untuk melantik Perdana Menteri adalah Perdana Menteri. Bagaimana Perdana Menteri nak lantik seorang Perdana Menteri?

“Itu tidak benar kerana kalau kita lihat Perlembangaan Persekutuan, kita melihat kepada perbentukan kerajaan, bila ada pilihanraya kita akan ada wakil rakyat. Jadi wakil rakyat yang menang akan memilih pemimpin mereka dan pemimpin mereka itu siapa yang akan pilih, kerana pada ketika itu Perdana Menteri tidak dilantik lagi,” katanya lagi.

Sebelum ini pihak peguam antaranya Syahredzan Johan menolak kenyataan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Perdana Menteri jika Tun Mahathir meletak jawatan.

Syahredzan dilaporkan berkata adalah mengarut untuk masyarakat memikirkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa berkenaan dan berpandangan baginda hanya untuk melantik seseorang itu yang mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen. -MalaysiaGazette