Telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi menjadi kontroversi kerana dikatakan ada unsur LGBT.
Telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi menjadi kontroversi kerana dikatakan ada unsur LGBT.

KUALA LUMPUR – Telemovie ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ perlu ditayangkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) termasuklah pakar agama terlebih dahulu sebelum menjadi tontotan umum.

Gesaan itu disuarakan oleh Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) menerusi Presidennya, Mohd Zahid Mahmood yang turut mendesak pakar agama dijadikan rujukan terlebih dahulu.

NGO itu dalam masa yang sama meminta pihak penerbitan telemovie yang dijadualkan bakal ditayangkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada September itu memberi penjelasan.

“PINTA mengambil langkah bertabayyun bagi meneliti keseluruhan isu termasuk menghubungi Finas, LPF (Lembaga Penapisan Filem) dan RTM

“Sehubungan dengan itu Pinta mewakili ahli yang terdiri dari majoriti Institusi Tahfiz di seluruh Negara ingin memohon penjelasan daripada pihak penerbit yang bertanggungjawab bagi menjelaskan isu ini supaya ia dapat meredakan kontroversi dan menyelesaikan isu ini secara baik.

“Ia mestilah ditayangkan kepada pihak yang berwajib seperti Jakim dan pakar agama serta mematuhi semua syarat Lembaga Penapisan Filem sebelum dapat diluluskan tayangannya” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Zahid berharap agar semua pihak yang berkenaan memberi kerjasama untuk meredakan kontreversi yang mencetuskan keresahan rakyat baru-baru ini.

Pada 4 Ogos, MalaysiaGazette melaporkan, satu petisyen dilancarkan atas nama “Haramkan Telefilem Sampah Memburukkan Institusi Tahfiz”.-MalaysiaGazette