Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (tengah) menerima penyerahan memorandum oleh Pengerusi Jiao Zong (Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia), Ong Chiow Chuen (enam kanan), Pengerusi Tamil Foundation, Thiraviam Maruthai (lima kiri) dan wakil Dong Zong, Jiao Zong dan beberapa NGO mewakili sekolah Cina dan Tamil selepas mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkenaan isu tulisan khat jawi buku teks BM di Kementerian Pendidikan Putrajaya, Presint 1, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 06 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) hari ini mengubah pendirian untuk bersetuju dengan pengenalan seni khat sahaja.

Dalam pertemuan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, persatuan itu akhirnya akur untuk bersetuju secara konsensus bagi menerima pembelajaran yang akan diajar tahun depan.

Bagaimanapun, persatuan itu tidak menerima tulisan Jawi sebagai medium pembelajaran di sekolah.

“Saya rasa, perjumpaan hari ini amat bermakna sekurang-kurangnya boleh capai satu konsensus di mana pengenalan seni khat ini kalau dimasukkan dalam sekolah rendah tahun 4, kita setuju bahawa tiada masalah, untuk kita perkenalkan tulisan khat sahaja, tiada masalah.

“Kita setuju ada konsensus di mana hasrat kita untuk perkenalkan tulisan seni khat. Tetapi dia bukan pembelajaran tulisan jawi. Konsensus kita tidak ada apa-apa keraguan,” kata Nie Ching dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

MGF06082019_DONG ZONG, JIAO ZON NGO BERTEMU TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN12
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (tengah) beramah mesra bersama Pengerusi Jiao Zong (Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia), Ong Chiow Chuen (kanan) selepas wakil
Dong Zong, Jiao Zong dan beberapa NGO mewakili sekolah Cina dan Tamil mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkenaan isu tulisan khat jawi buku teks BM di Kementerian Pendidikan Putrajaya, Presint 1, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 06 OGOS 2019.

Sebelum itu, 12 persatuan pendidikan Cina bertemu dengan Nie Ching selama dua jam setengah bagi mendapatkan maklum balas mengenai pelaksanaan itu.

Hadir dalam pertemuan itu adalah Pengerusi Jiao Zong (Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia), Datuk Ong Chiow Chuen; Timbalan Pengerusi Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia); Naib Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Tan Eng Beng; Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Alumni Sekolah Cina Malaysia, Yap Chuan Huat.

Semalam, kumpulan itu mendesak kerajaan supaya menangguhkan tindakan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat dan jawi dalam buku teks sekolah.

Chiow Chuen yang mewakili kumpulan pendesak berkenaan berkata, Kementerian Pendidikan perlu menyatakan penjelasan terlebih dahulu berhubung pelaksanaan berkenaan termasuk murid tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan.

“Kami mendesak agar kementerian mendedahkan bahagian mana dalam silibus dan DSKP yang akan dipinda dengan memberi penjelasan lanjut tentang bagaimana khat akan diperkenalkan di sekolah rendah Tamil dan Cina.

“Ini adalah penting untuk mengikis kebimbangan dan keraguan orang ramai, malah juga memastikan pelaksanaan tersebut menepati keperluan murid-murid di SJKC dan SJKT,” katanya semalam.

Dalam Facebook Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menerusi Frequent Asked Questions (Soalan Yang Sering Ditanya) yang dikongsikan beliau hari ini berkata, pelajar bukan Islam tidak dipaksa untuk mempelajari tulisan khat yang akan dilaksanakan tahun depan.

Malah pelaksanaan itu adalah usaha kerajaan bagi meningkatkan kefahaman semua murid mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu. – MalaysiaGazette