KUALA LUMPUR – Pemberhentian Skim Penanaman semula kelapa sawit yang diumumkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok semalam merupakan satu penindasan kepada golongan pekebun kecil di negara ini.

Ketua Wirawati Putra Malaysia, Dr Asmah Razalli berkata, tindakan Kementerian Industri Utama yang hanya menggantikan skim itu dengan pinjaman hanya membebankan pekebun kecil dengan hutang.

“Di mana logiknya dasar kementerian ketika harga sawit dunia merundum, kerajaan ingin menambah beban ke atas bahu setiap pekebun.

“Teresa sepatutnya melipatgandakan usaha untuk membantu para pesawit meningkatkan pengeluaran minyak sawit negara.

“Kerajaan sepatutnya mencari jalan alternatif supaya sawit Malaysia kembali mendapat permintaan tinggi dalam kalangan negara komoditi dunia serta mempromosikan dengan bijak secara besar-besaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Menurut Teresa, skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.

Sebaliknya kerajaan memperkenalkan pinjaman bagi penanaman semula itu dengan kadar empat peratus.

Dr. Asmah Razalli
Dr. Asmah Razalli

Asmah mendakwa, langkah itu didakwa sengaja dilakukan untuk membunuh industri sawit di mana majoriti pengusahanya adalah dalam kalangan golongan bumiputera.

“Niat kementerian membebankan rakyat di waktu harga komoditi sedang meruncing dilihat sebagai cara paling malas dan mudah untuk menjimatkan kos tanpa kreativiti inisiatif menyelesaikan permasalahan sawit negara.

“Pelbagai alasan untuk menghentikan skim penanaman semula sawit dalam kalangan pekebun kecil adalah tidak munasabah kerana Felda dan Felcra sudah mempunyai pelan di bawah kerajaan.

“Kebanyakan pekebun kecil tidak mampu membiayai kos penanaman sendiri , Ini menyebabkan hanya syarikat besar lain yang memonopoli bekalan sawit negara,” katanya.

Katanya lagi, pekebun-pekebun di bawah skim TSSPK sebelum ini layak menerima bantuan RM7,000 untuk setiap hektar sawit bagi penanaman semula dan kini terpaksa memohon pinjaman.

“Kerajaan Pakatan Harapan masih boleh berbelanja mewah dengan pelbagai lawatan, sumbangan kepada organisasi tertentu dengan jumlah banyak tetapi tidak mampu memperuntukkan sejumlah dana untuk golongan pekebun adalah sesuatu yang melampau.

“Wirawati Putra berharap Teresa tidak membuat keputusan merugikan Kabinet kerana rakyat terutama para pekebun kecil pastinya tidak lagi senang dengan Kementerian yang secara terangan menindas kebajikan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, tindakan Teresa itu tidak memberi imej yang baik kepada kerajaan yang tidak menjaga kebajikan rakyat dan tidak pelik jika rakyat mula menolak mereka.

“Kementerian seeloknya menyayangi sawit lebih daripada satu sudu dengan menjaga kebajikan para pengeluar pekebun sawit dan meningkatkan permintaan pengeluaran sawit Malaysia, bukan menghentikan bantuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette