NEW DEHLI – Benarlah peribahasa, ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’, kematian bekas Menteri Luar India, Sushma Swaraj kelmarin memberi kesan mendalam kepada ramai orang.

Ahli politik veteran BJP itu bukan sahaja popular dalam kalangan rakyat India malah seluruh dunia kerana beliau merupakan satu-satunya menteri yang boleh didekati serta dihubungi dengan menggunakan laman sosial Twitter.

Dengan pantas dan penuh efisyen, Sushma akan menjawab setiap perkara yang dibangkitkan, malah beliau dikatakan telah membantu ribuan warga India, termasuk mereka yang berada di luar negara ketika menjawat jawatan tersebut.

Bukan itu sahaja, beliau juga antara yang begitu dekat dengan golongan miskin dan prihatin dengan kekurangan mereka sepanjang bergelar ahli politik, dengan agenda utamanya menangani kemiskinan di negara ini.

Tidak ada media yang akan menyatakan sesuatu yang negatif tentang Sushma yang digelar ‘wanita besi’ kerana kecekalan beliau bekerja dalam kalangan persekitaran yang didominasi lelaki.

Antara yang tidak boleh dilupakan termasuk bagaimana Sushma menyelamatkan 46 jururawat Kerala yang terperangkap dengan kumpulan Daesh di Iraq dan ia dilakukan tanpa sebarang konflik mahupun pertumpahan darah.

Baginya, tidak kira apakah latar belakang mereka atau agama mahupun kedudukan, selagi mampu Sushma akan turun membantu pada bila-bila masa sehingga telefon bimbitnya sentiasa dibuka 24 jam.

Apabila berita kematian beliau diumumkan semalam, jutaan orang berkabung di seluruh India, malah di luar negara.

Perdana Menteri, Narenda Modi melahirkan rasa dukacita sambil menyifatkan pemergiannya adalah kehilangan besar kepada negara apatah lagi pemimpin seperti Sushma sukar dicari ganti.

“Kematian beliau seperti kita sudah kehilangan salah satu bab kegemilangan politik India.

“Pada hari ini, India menangis kerana kehilangan negarawan yang hanya mendedikasikan keseluruhan hidupnya bagi kehidupan golongan miskin serta menaik taraf apa yang ada sekarang kepada yang lebih baik.

“Sushma adalah antara pemimpin yang telah memberikan inspirasi kepada jutaan orang di luar sana apakah itu maksud cekal dan berani dalam apa jua situasi,” katanya.

Mendiang, 67, yang menghadapi komplikasi buah pinggang sebelum menjalani pembedahan pada 2016 meninggal dunia di pusat perubatan AIIMS di New Dehli kelmarin selepas menghadapi serangan jantung pada sebelah malamnya.

Beliau tidak lagi bertanding pada pilihan raya Lok Shaba pada tahun ini berikutan masalah kesihatan namun tetap aktif.

Malah dua jam sebelum meninggal dunia, Sushma sempat mengucapkan tahniah kepada Narenda Modi yang menarik balik pelembagaan sehingga menimbulkan konflik di Jammu, Kashmir.

Anak Donald Trump, Ivanka sendiri melahirkan rasa sedih dengan kematian Sushma yang dianggap sebagai seorang ahli politik yang banyak memainkan peranan penting dalam dan luar negara.

“Sushma adalah ikon kepada golongan wanita India dan seluruh dunia kerana keberanian dan kelantangan beliau, saya rasa perkenalan saya dengan beliau adalah sesuatu yang berharga, apa lagi kami pernah berkongsi platform dalam berjuang isu-isu berkait wanita sebelum ini,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan pelajar jurusan undang-undang dan pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan Ahli Parlimen selama tujuh penggal.

Antara lain kejayaan beliau dalam politik yang bermula sejak lewat 70-an termasuk Menteri termuda dalam kabinet Haryana, Ketua Menteri Wanita pertama New Dehli, Menteri Penyiaran dan Komunikasi, Menteri Hal Ehwal serta Menteri Luar. –MalaysiaGazette