Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat seakan tunduk dengan desakan ‘picisan’ yang tidak seharusnya dilayan berhubung pelaksanaan tulisan khat aksara Jawi.

Meskipun, langkah pelaksanaan itu diteruskan namun, sedikit terkilan apabila KPM mengurangkan pengajaran tulisan khat daripada enam muka surat kepada tiga muka surat sahaja, kata Presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Tambah mendukacitakan lagi apabila silibus itu hanya diteruskan sebagai modul pilihan, yang mana para guru mempunyai opsyen sama ada untuk mengajar ataupun tidak.

“AGRA ingin menzahirkan kekecewaan mewakil ’90 gabungan NGO Nasionalis’ lain yang bersama dengan AGRA atas kenyataan terbaharu Dong Zong yang kembali menyatakan penolakan mereka ke atas implemantasi pengajian Khat dalam subjek Bahasa Melayu biarpun pihak KPM mengambil pendekatan berlembut dari segi metod pengajaran melalui sidang media YB Dr. Maszlee Malik pada hari ini, setelah pertemuan secara harmoni pada sesi penyerahan memorandum AGRA kepada Dong Zong bertarikh 6 Ogos 2019.

“Ternyata pertimbangan terbaharu Dong Zong adalah tidak berasas apatah lagi mengaitkan pengajian Khat, aksara Jawi dengan agenda Islamisasi, malah Dong Zong nyata berbohong untuk menambah kemarahan kelompok tertentu dengan mengatakan bahawa pengajian Khat ini akan mengambil ayat-ayat Al-Quran sepertimana yang dilaporkan media melalui kenyataan falasi Dong Zong hari ini.

“Jelaslah kini bahawa Dong Zong sebuah gabungan yang mengkhianati agenda nasional atas hasrat kerajaan yang ingin memasak jati kebangsaan dalam pada mendidik masyarakat untuk menghargai nilai warisan kebangsaan demi melahirkan kesepaduan membina identiti negara bangsa.

“Dong Zong pula pada suatu sisi seakan tidak mendalami mahupun memeluk erat Perlembagaan dan Undang-Undang Malaysia yang turut memartabatkan aksara jawi sebagai jati kebangsaan,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Dalam pada itu, Mohd Ashraf menegaskan supaya Dong Zong jangan bermain dengan api dengan ‘menambah minyak’ dalam ketidakfahaman masyarakat atas agenda murni kerajaan menyemai benih membina identiti negara bangsa.

Tegasnya, AGRA akan melawan segala entiti anti-nasionalisme dan bersedia berhadapan dalam pelbagai medium demi memberikan kefahaman dan menyangkal segala agenda yang menghancurkan keharmonian negara.

Ujarnya, program-program berbentuk kenegaraan yang melibatkan pelbagai kaum sedang giat dijalankan melalui AGRA demi melahirkan anak bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan harmoni dengan jati kebangsaan yang kukuh. – MalaysiaGazette