KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wee Ka Siong skeptikal dengan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa projek kereta nasional ketiga hanya menggunakan wang daripada syarikat sahaja.

Ini kerana, katanya, projek kereta nasional ketiga dianugerahkan kepada syarikat DreamEDGE Sdn Bhd.

Syarikat Venturetech Sdn Bhd pula adalah pemegang saham terbesar syarikat DreamEDGE.

Syarikat Venturetech pula adalah 100 peratus milik Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), kata Presiden MCA itu.

“Kalau ini pun bukan duit rakyat, adakah ini duit bapa dia Kit Siang ke?,” soal Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menerusi akaun Facebooknya.

Dedahnya, DreamEDGE Sdn Bhd hanya ada modal berbayar RM12.4 juta sahaja setakat tahun 2018.

Syarikat itu juga mencatat pendapatan RM20 juta sahaja dan mengalami kerugian untuk tahun 2018.

Lantaran itu, dakwanya, sudah tentu syarikat DreamEDGE tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk menampung pelaburan sebesar kereta nasional ketiga kerana dana berbilion-bilion ringgit akan diperlukan.

“Syarikat ini pasti memerlukan penyuntikan dana yang besar. Dan saya pasti penyuntikan dana ini akan datang dari pemilik saham terbesar syarikat itu, iaitu kerajaan PH.

“Seperti kes Lynas, Guan Eng telah sekali lagi menipu rakyat. Kelulusan Akauntan Bertauliah, Guan Eng tipu!

“Lynas, Guan Eng tipu! Kereta Nasional Ke-3, Guan Eng tipu lagi!,” katanya. – MalaysiaGazette