Suasana di Dataran 350 yang turut dilanda ribut malam tadi.

KANGAR – Beberapa peniaga di Dataran 350 di sini, berdepan detik cemas apabila khemah perniagaan mereka tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang yang melanda hampir seluruh negeri ini selama sejam bermula kira-kira 8.00 malam tadi.

Lebih menyedihkan hasil jualan mereka sempena Hari Raya Aidiladha sejak beberapa hari lepas ‘hilang’ disyaki ‘diambil’ individu yang tidak bertanggungjawab.

Seorang peniaga, Hazdi Zairi Abd Razak, 30, berkata semasa bencana itu, suasana menjadi kelam-kabut sehingga beliau tidak sempat menyelamatkan barangan jualannya.

“Dalam keadaan itu, mungkin ada orang mengambil kesempatan mencuri. Saya yang menjual minyak wangi dan pakaian tidak dapat berbuat apa-apa, hanya berserah kepada Allah SWT,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi peniaga, Nordin Harun, 53, dari Kuala Perlis yang berniaga pakaian dan permainan kanak-kanak, berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM15,000 kerana tidak sempat menyelamatkan barang perniagaannya.

Sambil melahirkan rasa terkilan kerana hasil jualannya turut ‘dikebas’, Nordin berkata semasa kejadian, beliau sedang melayan pelanggan, sebelum secara tiba-tiba angin kencang beserta hujan lebat mengakibatkan barang miliknya rosak.

Tinjauan mendapati lebih 20 peniaga yang berniaga di situ turut mengalami nasib sama.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mula membuat bancian kerosakan dan kerugian yang dialami peniaga berkenaan.

Difahamkan berpuluh rumah dan premis perniagaan rosak di samping berlakunya kemalangan jalan raya susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang itu.

Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi, bagaimanapun berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat bencana itu, setakat ini.

— BERNAMA