Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Sebarang kenyataan yang mengaitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan secara unilateral adalah tidak berasas dan satu pembohongan nyata, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, isu Statut Rom, Lynas, ICERD dan pelbagai isu lain telah dibincang dan diputuskan secara terbuka dan penuh muafakat, bukannya seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

“Saya menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago bahawa YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sering membuat keputusan secara bersendirian dalam isu-isu penting dan sensitif negara.

“Ingin saya tegaskan bahawa Perdana Menteri (Tun Mahathir) merupakan pemimpin yang mengutamakan kepentingan serta pandangan semua pihak dan setiap keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan atau Pakatan Harapan (PH) merupakan keputusan bersama.

“Saya percaya Ahli Mesyuarat Jemaah Menteri yang lain boleh mengesahkan
perkara ini,’ katanya dalam kenyataan terbaharu petang hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bersatu Simpang Renggam itu berkata, sepanjang menghadiri mesyuarat-mesyuarat melibatkan Perdana Menteri, beliau tegas dalam mencari kata putus dan dalam masa sama amat menghargai suara setiap ahli mesyuarat yang hadir.

Santiago dalam hantaran di laman Facebooknya semalam  menyatakan kebimbangan mengenai tindak tanduk Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Pengerusi PPBM kononnya pemimpin utama negara itu membuat keputusan secara sendirian dalam isu isu tertentu.

Pemimpin DAP itu juga memberi beberapa contoh keputusan terburu-buru kerajaan PH di bawah pimpinan Tun M disifatkan sebagai tidak mencerminkan sentimen rakyat.

Dia juga secara terbuka mengkritik kuasa mutlak yang sungguh luas digunakan Dr Mahathir untuk membuat keputusan tanpa berunding dengan parti lain terlebih dahulu.

“Apa yang sedang berlaku pada masa ini sebenarnya sangat membimbangkan di mana Tun Mahathir membuat keputusan sepihak untuk semua. Nampak gaya, semua keputusan dibuat olehnya sahaja”, katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/12/wakil-rakyat-dap-kesaltun-m-sering-buat-keputusan-sendirian/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/12/di-masa-depan-apabila-nak-buat-keputusan-saya-tanya-santiago-sinis-tun-m/