Nasrul Ali Hasan (tengah) menyerahkan memorandum menggesa polis mengharamkan Dong Zong kepada Abdul Rahim dari Bahagian Komunikasi Korporat Bukit Aman.
Nasrul Ali Hasan (tengah) menyerahkan memorandum menggesa polis mengharamkan Dong Zong kepada Abdul Rahim dari Bahagian Komunikasi Korporat Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Sayap Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa polis mengharamkan pertubuhan Cina yang rasis, Dong Zong kerana sentiasa menentang dasar nasional dan menggugat ketenteraman rakyat Malaysia.

Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, gesaan yang dibuat dalam bentuk memorandum itu antara lain menyatakan, rasa kurang senang hati rakyat ke atas tindakan pertubuhan itu mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan penghinaan terhadap Islam.

Katanya, pertubuhan rasis itu juga cuba menghasut dengan membangkitkan hal salah faham dan kegusaran terhadap penganut bukan Islam seperti mengaitkan seni kaligrafi khat dan tulisan Jawi sebagai penyebaran agama secara Islamisasi.

Wira Putra turut mengemukakan sebab kukuh bagi kerajaan mengambil tindakan mengharamkan Dong Zong, yang antara lain mendakwa, pertubuhan rasis itu menjadi ejen ekstremis dalam memberi gambaran dan interprestasi palsu serta menyemai pemikiran ekstremis dan super negatif kepada rakyat, khusus bukan Islam.

“Segala tindakan dilakukan Dong Zong telah menyemai semangat tidak bersatu padu antara semua golongan bangsa dan agama di Malaysia ini.

“Benih kebencian antara orang Melayu dan bukan Melayu mula dipupuk secara halus dengan menggunakan isu kecil, iaitu pembelajaran dalam tulisan Jawi dan khat.

“Jika sikap dan impak dari pelaku ini berterusan, tidak mustahil peristiwa berdarah 13 Mei akan berlaku sekali lagi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama barisan kepimpinan Wira Putra menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara (KPN) mendesak Dong Zong diharamkan, di ibu pejabat Polis Bukit Aman, petang ini.

Memorandum empat muka surat itu diserahkan kepada Asisten Superintendan Abdul Rahim Othman Siru dari Bahagian Komunikasi Korporat Bukit Aman.

Menurut Nasrul Ali Hasan, pertubuhan rasis itu menjadi ejen penyebaran fitnah, pembentukan sebagai karakter pembohong besar serta pemanipulasi ekstrem yang tidak bertanggungjawab terhadap agama Islam, kaligrafi khat dan tulisan Jawi.

Tindakan itu, ujar beliau, mengelirukan rakyat apabila mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan niat asal yang diketengahkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Berikutan tindakan itu, ia mendapat tindak balas drastik daripada bukan Melayu dan menghangatkan lagi isu perkauman yang sedang banyak diperbincangkan ketika ini.

“Dong Zong juga sentiasa bersikap provokatif, ekstremis, bersifat ultra kiasu serta tidak ada semangat nasionalisme sejak awal penubuhannya dan sentiasa pula menentang dasar Pendidikan Nasional,” dakwanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast