Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Mohd Fauzi Mohd Yatim melancarkan gimik pelancaran ketika hadir pada Majlis Perasmian Pesta Pantai Bagan Lalang Sepang 2019 di Pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 17 OGOS 2019.

SEPANG – Kerajaan negeri Selangor akan membina lebih banyak kemudahan infrastruktur di kawasan lokaliti pelancongan dengan menggunakan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kewangan berjumlah RM10 juta.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, jumlah yang banyak dan pertama kali diterima daripada Kerajaan Pusat itu akan menjadi nadi untuk pembangunan sektor pelancongan di negeri tersebut dan pulangannya diterima kembali oleh kerajaan negeri menerusi kemasukan pelancongan dengan kutipan sebanyak 15 hingga 20 peratus.

“Kita akan melihat, apakah kepentingan dan keperluan infrastruktur dan sebagainya dan tahun ini adalah pertama kali kita baru dapat peruntukan RM10 juta daripada kementerian kewangan hasil daripada cukai pelancongan.

“RM10 juta itu bukan angka sebenar sebab kita tak dapat mengukur jumlah tepat (kutipan hasil pelancongan),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin merasmikan program sempena Pesta Pantai Bagan Lalang @Sepang yang bermula hari ini hingga esok.

Beliau kemudiannya menyaksikan pertandingan bola sepak pantai dan pertandingan silat.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bagi tujuan tersebut Majlis Perbandaran Sepang (MPS) mempunyai tanggungjawab untuk memelihara salah satu daripada kawasan peranginan dibawah pentadbiran mereka iaitu Pantai Bagan Lalang.

Katanya, semua pihak perlu membantu MPS mengekalkan keindahan pantai tersebut serta memelihara keunikan yang ada disitu.

Ini kerana katanya, langkah berkenaan mampu mengekalkan Selangor sebagai sebuah negeri yang mempunyai kawasan pelancongan menarik, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri itu. – MalaysiaGazette