Dr.Zakir Naik Abdul Karim.

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara tidak akan bertoleransi seandainya ada pihak luar cuba bercakap tentang agama, kepercayaan atau tradisi yang selama ini majmuk dan saling memahami antara satu sama lain.

Walaupun pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik dipertahankan segelintir pihak khasnya Pas namun pada masa ramai juga tampil mengkritik.

Dr. Zakir didakwa banyak mencampuri urusan agama lain di negara ini walaupun realitinya beliau merupakan seorang pendakwah Islam.

Terbaru, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) menggesa Dr. Zakir untuk tidak lagi mencampuri urusan serta kepercayaan agama lain di negara ini.

Malah kata DHPP, Dr. Zakir juga tidak sepatutnya mempersoal atau memperkatakan tentang kesetiaan masyarakat India terhadap kepimpinan negara yang jelas bukan urusan seorang pendakwah agama.

Menurut S Barathidasan, Dr. Zakir sepatutnya menghormati hak asasi manusia serta tidak mengeluarkan kenyataan berkait dengan kaum serta agama-agama lain di negara yang akhirnya akan menjejaskan keharmonian.

“Kami hanya mahu meminta supaya beliau menghormati prinsip hak asasi manusia dengan tidak mengeluarkan pelbagai kenyataan sehingga menyentuh sentitiviti kaum, agama dan boleh menggugat perpaduan antara kaum. Sini situasi masyarakat majmuk berbeza.

“Kita di negara ini yang rakyatnya berbilang kaum dan agama sentiasa menjaga hubungan baik yang terjalin dalam masyarakat majumuk di negara ini bagi memastikan kelangsungan hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beberapa pemimpin yang juga menjalin hubungan kerjasama dengan Pas termasuk MIC melahirkan rasa gusar mereka dengan tindak tanduk Dr. Zakir dan mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada parti Islam itu.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata kepada MalaysiaGazette adalah tidak adil untuk Pas memberi lebih banyak kelebihan kepada Dr. Zakir sehingga beliau boleh mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati komuniti India dan Cina.

Dalam pada itu, kata Barathidasan, sepatutnya Dr. Zakir juga perlu mendapatkan nasihat daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung situasi serta keadaan di negara ini sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan terutamanya dalam kalangan rakyat majmuk.

Beliau juga berkata, pihaknya tidak mempertikaikan status penduduk tetap yang dimiliki Dr. Zakir dan dalam masa sama memuji Pas tidak mengetepikan orang bukan Islam di Kelantan dan Terengganu.

Jumaat lepas, polis memanggil Dr. Zakir dan menyoal siasat beliau sehingga hampir tujuh jam berhubung kenyataan beliau berkait dengan komuniti India dan Cina di negara ini.

Walaupun secara umumnya, Dr. Zakir telah tampil menjelaskan kenyataan beliau telah di ambil luar daripada konteks namun rakyat bukan Islam masih berpendirian orang luar tidak sepatutnya bercakap tentang agama serta kepercayaan mereka selama ini. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/18/zakir-naik-pas-sepatutnya-jauh-lebih-sensitif-vigneswaran/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/18/zakir-naik-pas-perlu-hormat-perasaan-kami-juga-ipf/