Rosli Husain. foto HAZROL ZAINAL, 13 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Bukan laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang ‘mendorong’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes penyelewengan dana sebanyak RM42 juta  tetapi laporan daripada portal Sarawak Report.

Itu kata saksi ke-57 perbicaraan kes SRC International, Penolong Kanan Operasi Khas SPRM, Rosli Hussain seklaigus menafikan tanggapan awal umum yang siasatan dibuat berpandukan laporan WSJ.

Kata Rosli yang juga saksi terakhir perbicaraan, artikel Sarawak Report bertajuk Sensational Findings! – Prime Minister Najib Razak’s Personal Accounts Linked To 1MDB Money Trail MALAYSIA EXCLUSIVE!’ sebenarnya pencetus siasatan SPRM pada tahun 2015.

Jelasnya lagi, artikel tersebut juga telah digunakan sebagai asas untuk membuka kertas siasatan pada 11.30 pagi pada 2 Julai 2015 iaitu pada hari yang sama ia disiarkan kepada umum.

WSJ sebelum itu juga  telah menerbitkan artikel  bertajuk Investigators believe money flowed to Malaysian leader Najib’s accounts amid 1MDB probe.

Rosli mendedahkan perkara itu ketika di soal balas oleh peguam bela, Harvinderjit Singh tentang bagaimana Sarawak Report mendapat mendapat maklumat tentang penyewelengan dana itu selain adakah kemungkinan kebocoran dokumen bank.

Bagaimanapun, kata Rosli, pihaknya tidak menyiasat tentang perkara itu sebaliknya siasatan SPRM hanya menjurus kepada kemungkinan pelanggaran Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram serta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dalam pada masa itu, saksi SPRM itu yang juga pegawai penyiasat pada ketika itu mendedahkan pihaknya tidak pula memanggil atau bercakap dengan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Harvinderjit: Ketika anda menyiasat bank, adakah anda tahu ada dokumen bank ini telah di bocorkan kepada Sarawak Report?

Rosli: Berdasarkan pada masa itu, memang kita boleh andaikan begitu.

Harvinderjit: Adakah kamu tahu siapakah dari AmIslamic Bank bertindak membocorkan maklumat itu sehingga adanya artikel itu?

Rosli: Oh, itu saya tidak tahu.

Harvinderjit: Jadi boleh kita andaikan bahawa maklumat siapakah yang bocorkan maklumat itu tidak penting buat anda?

Rosli: Itu kerja polis.

Sarawak Report disekat oleh kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) pada Julai 2015 selain waran tangkap dikeluarkan terhadap Clare kerana didakwa terlibat dengan ‘kerosakan demokrasi parlimen’.

Selain daripada itu, Clare juga tidak dibenarkan masuk ke negara bagaimanapun sekatan itu telah dibatalkan selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya pada Mei 2018. – MalaysiaGazette