Matawang negara iaitu Ringgit Malaysia (RM). foto FAREEZ FADZIL, 03 JANUARI 2019
KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US berikutan mata wang Amerika Syarikat itu mengukuh dengan turun naik dalam pasaran kewangan dan harga minyak yang rendah, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.2050/2090 berbanding dolar US daripada 4.1900/1930 pada Khamis.

Peniaga berkata perang perdagangan AS-China yang meningkat turut menyebabkan ekonomi global lemah.

Pada minggu lepas, Presiden AS Donald Trump dalam satu langkah mengumumkan duti tambahan sebanyak lima peratus ke atas barangan China yang disasarkan bernilai US$550 bilion, tidak lama selepas China mengenakan tarif balas ke atas produk AS bernilai US$75 bilion.

Ambank Research berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) memantau perkembangan dalam ekonomi dan akan bertindak mengikut kesesuaian, tetapi berhenti daripada menjanjikan apa-apa langkah penurunan kadar faedah tertentu.

“Penurunan kadar faedah dilihat sebagai cara untuk mengekalkan daya saing ringgit berbanding dolar US. Ruang untuk ringgit melepasi paras 4.20 berbanding dolar dalam masa terdekat kekal. Pada pandangan kami, penyusutan ringgit melepasi paras 4.20 adalah secara berperingkat.

“Tumpuan kami pada penetapan yuan China yang dijangka rendah berbanding dolar US,” katanya dalam nota hari ini.

Katanya penyusutan yuan China akan mempengaruhi mata wang lain di rantau ini, termasuk rupee India, dolar Singapura, won Korea, rupiah Indonesia dan ringgit.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding yen kepada 3.9971/4.0021 daripada 3.9284/9327 dan berbanding euro kepada 4.6848/6897 daripada 4.6333/6383 sebelum ini.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0254/0294 daripada 3.0213/0237 dan berbanding pound British kepada 5.1579/1640 daripada 5.1147/1201. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.