Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akbar Al Baker (tiga kiri) bersalaman dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga kanan) turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Hezri Adnan (dua kanan) dan Naib Presiden Kanan Asia Pasifik Qatar Airways, Marwan Koleilat (dua kiri) selepas sidang media Pelancaran Penerbangan Qatar Airways ke Langkawi di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Qatar Airways berhasrat untuk menokok pegangannya dalam syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific Airways Ltd. jika mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

Ketika ini, Qatar Airways memiliki kira-kira 9.9 peratus pegangan dalam syarikat penerbangan berkenaan dan merupakan pemilik saham ketiga terbesar selepas Swire Pacific Ltd. (45 peratus dan juga pemegang hak pengurusan) dan Air China Ltd. (30 peratus).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Akbar al-Baker, syarikat penerbangan Qatar itu sentiasa yakin dengan potensi yang ada pada Cathay Pacific.

Walaupun syarikat penerbangan itu menjadi korporat terbesar yang menjadi mangsa kepada ketegangan politik di Hong Kong namun beliau masih yakin ianya tetap mampu menjalankan tugas untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang-penumpangnya.

Kerajaan China baru-baru ini mengeluarkan amaran supaya Cathay Pacific menggantung kakitangannya yang terlibat atau memberikan sokongan terhadap demonstrasi anti-kerajaan yang sedang berlaku ketika ini.

“Cathay Pacific masih lagi teguh berdiri dan sedia untuk meluaskan sayap dan berkhidmat kepada para penumpang di Hong Kong dan China tambahan pula Hong Kong merupakan sebahagian daripada tanah besar China.

“Kami tidak bimbang mengenai jenamanya dan kami juga tidak risau mengenai kekukuhan syarikat penerbangan tersebut,” katanya semasa sidang media sempena pelancaran penerbangan Qatar Airways ke Langkawi di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhriz Mahathir.

Bercakap kepada Reuters, Qatar Airways menegaskan tidak berminat untuk membeli Malaysia Airlines mahupun Air India walaupun kerajaan kedua-dua negara itu sedang giat mencari pembeli bagi syarikat penerbangan kebangsaan masing-masing.

Untuk rekod, dalam satu temubual dengan The Economic Times, Akbar memberitahu, Qatar Airways hanya berminat untuk membeli syarikat penerbangan milik kerajaan India itu sekiranya ia hadir tanpa “bagasi”.

Beliau tidak merujuk kepada hutang Air India sebaliknya kepada fungsi-fungsi lain seperti pengurusan di darat (ground-handling), kejuruteraan dan sebagainya.

Selain Cathay Pacific, Qatar Airways merupakan pelabur dalam syarikat induk British Airways, International Consolidated Airlines Group dan LATAM Airlines Group SA.- MalaysiaGazette