Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir pada hari terakhir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Perbicaraan berprofil tinggi, SRC International Sdn. Bhd. membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka berakhir hari ini.

Perbicaraan yang masuk hari ke-57 dengan saksi terakhir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain ketika ini sedang disoal balas oleh ketua pasukan pembela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Saksi yang merupakan Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain ketika hadir pada hari terakhir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2019

Najib yang tiba pada pukul 8.50 pagi sempat melemparkan senyuman kepada mereka yang berada di komples mahkamah sebelum naik ke tingkat 5 dengan tenang.

Pihak pendakwaan dijangka melengkapkan kes yang bermula sejak 3 April lalu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Kedua-kedua pihak pendakwaan dan pembelaan akan membentangkan hujah mereka sebelum Mohd Nazlan membuat keputusan sama ada wujud prima facie terhadap Najib dalam kes ini.

Antara dokumen dan bahan bukti yang dibawa pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Seandainya terdapat prima facie, maka hakim akan memerintahkan bekas Presiden UMNO itu membela diri menerusi perbicaraan masuk fasa kedua dengan barisan peguam memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.

Perbicaraan itu dijangka berlangsung awal tahun depan.

Selepas pihak pembela selesai, hujah akhir akan dilakukan selepas itu sebelum hakim akan membacakan penghakimannya serta menyampaikan keputusan.

Bermula esok, perbicaraan kes menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi Najib akan bermula.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu ketika prosiding ditetapkan untuk pengurusan kes Jumaat lepas.

Perbicaraan kes 1MDB yang juga dikenali sebagai ‘perbicaraan Tanore’ bakal berlangsung sepanjang September hingga 14 November ini. – MalaysiaGazette