Vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad tampil dengan buah tangan terbaru, Yang Satu

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad tampil dengan buah tangan terbaru, Yang Satu mendedahkan lagu itu ditujukan kepada isterinya yang juga penyanyi, Stacy.

Jelas Akim, lagu ciptaan Hang Nadim dan Laq itu begitu istimewa dan umpama luahan hatinya terhadap insan yang dicintai.

Lebih menarik, Yang Satu dilancarkan pada 18 Ogos lalu serentak dengan hari ulang tahun kelahiran Stacy yang ke-29.

“Hanya dia (Stacy) yang memahami segala isi hati saya dan kerana itu, saya tujukan Yang Satu khas buat isteri sebagai tanda penghargaan atas kasih sayangnya selama ini.

“Ia lebih istimewa apabila lagu itu dilancarkan sempena hari ulang tahun kelahiran Stacy. Saya anggap lagu itu sebagai hadiah paling bermakna buat isteri tercinta.

“Saya harap Stacy dapat mengamati setiap baris ayat dalam lagu ini yang jelas menterjemahkan segala perasaan saya terhadapnya,” kata Akim.

Yang Satu diterbitkan Rhythm & Rhyme Music yang dikendalikan Akim bersama Stacy, manakala Nova Music bertindak sebagai pengedar.

Selain Akim, Akim & The Majistret turut dianggotai Wan (dram), Freddy (gitaris utama), Gjie (gitaris kedua), Zimi (gitaris ketiga), Fairuz (bass), Afiez (keyboard) dan Rajwan (dram digital).

Jika dua single terdahulu kami iaitu Rampas dan Ladida lebih cenderung kepada muzik segar, kali ini kami beralih kepada lagu balada. Lagipun, sudah lama peminat menantikan kemunculan lagu balada terbaru kami.

“Berbekalkan melodi mesra telinga, lagu ini masih menjanjikan sajian muzik segar apabila disuntik elemen new wave raggae selain mengekalkan identiti bunyi yang sebati dengan Akim & The Majistret,” katanya.

Ditubuhkan pada 2014, Akim & The Majistret turut dianggotai Wan (dram), Freddy (gitaris utama), Gjie (gitaris kedua), Zimi (gitaris ketiga), Fairuz (bass), Afiez (keyboard) dan Rajwan (dram digital).

Mereka mula bertapak menerusi single Mewangi pada tahun 2014 dan melakar kejayaan membanggakan termasuk dinobatkan sebagai Juara Lagu dan Persembahan Terbaik menerusi lagu, Potret pada kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL 30). – MalaysiaGazette