KUALA LUMPUR – Terbitan sukuk dijangkakan berkembang enam peratus kepada sekitar US$130 bilion tahun ini, kata Moody’s Investors Service.

Dalam kenyataan hari ini, Moody’s berkata, walaupun unjuran itu rendah sedikit daripada lapan peratus peningkatan pada 2018, ia merupakan pengembangan lima tahun berturut-turut.

“Unjuran bagi setahun penuh itu mencerminkan penerbitan kukuh US$87 bilion pada separuh pertama 2019, yang merangkumi instrumen jangka pendek dan jangka panjang,

“Kami menjangkakan jumlah terbitan sukuk bagi separuh kedua menjadi sederhana kepada sekitar US$43 bilion, memandangkan pengeluaran kukuh dalam enam bulan pertama mengurangkan keperluan pembiayaan negara dan korporat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia juga berkata, kerajaan dan entiti korporat di Malaysia dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk – khususnya Arab Saudi – dijangka terus mengeluarkannya secara teratur.

Moody’s juga berkata, peserta baharu dan sukuk hijau akan merangsang pengeluaran memandangkan beberapa sukuk negara dari Afrika dijangka memasuki pasaran, dan menambah bahawa Mesir telah menubuhkan sebuah jawatankuasa penyeliaan Syariah pada April 2019 untuk mengawasi terbitan sukuk.

“Walaupun pasaran sukuk hijau masih di peringkat awal, kami menjangkakan pengeluaran akan dipercepat sebagai usaha untuk memerangi daya tarikan perubahan iklim, memanfaatkan urus niaga sukuk hijau awal di Malaysia dan Indonesia,” katanya. – MalaysiaGazette