Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA mempersoalkan rasional di sebalik pengumuman Dr Maszlee Malik untuk menyediakan makanan kepada 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara.

Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, berdasarkan perkiraan RM3 sehari untuk 200 hari bersekolah dalam setahun, maka kos penyediaan makanan berkhasiat untuk semua pelajar adalah sebanyak RM1.6 bilion.

Soal beliau, adakah kerajaan berhajat untuk membekalkan makanan berkhasiat secara percuma kepada semua pelajar sekolah rendah termasuk mereka yang berasal dari keluarga berada.

Sedangkan bukankah lebih elok sekiranya duit yang sama dibelanjakan untuk tujuan membantu golongan petani daif serta membina lebih banyak projek perumahan rakyat atau rumah kos rendah.

Lagipun, katanya, setiap murid mempunyai amalan atau tabiat pemakanan yang berbeza, kebanyakan daripada mereka telah siap bersarapan di rumah sebelum pergi ke sekolah.

Manakala ada juga yang hanya makan buah-buahan, makanan organik dan bijirin untuk sarapan pagi.

“Persoalannya adakah pengumuman Menteri Pendidikan Dr Maszlee ini praktikal dan dapat memenuhi aspirasi dan citarasa kebanyakan murid?,” soal beliau.

Menurutnya lagi, Kerajaan Barisan Nasional telah melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) lebih 10 tahun kepada murid-murid dalam golongan keluarga berpendapatan rendah dengan kos RM2.50 di Semenanjung Malaysia dan RM3.00 di Sabah dan Sarawak.

Setakat tahun 2018, seramai 489,117 orang murid telah mendapat manfaat ini dan jumlah peruntukan ialah RM289 juta.

Ka Siong berkata, sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan berhasrat untuk memperluaskan skop RMT kapada lebih ramai murid dari keluarga berpendapatan sederhana dengan jumlah peruntukan yang lebih besar yang termampu, beliau tidak keberatan untuk menyokongnya.

“Tapi, adakah perlu bagi kerajaan memberi makanan berkhasiat kepada semua 2.7 juta murid sekolah rendah?

“Dalam keadaan PH telah meningkatkan hutang negara melebihi RM100 bilion sejak mereka memerintah, adakah wajar kerajaan terus berbelanja sebegini?,” soalnya lagi. – MalaysiaGazette