Najib Razak

KUALA LUMPUR – Saksi ketujuh, Rafidah Yahaya memberitahu mahkamah bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu masih menjadi Perdana Menteri telah menandatangani borang pertukaran Terengganu Investment Authority (TIA) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009.

Rafidah yang merupakan Penolong Pendaftar Syarikat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkata demikian ketika soal pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam pada perbicaraan kes berprofil tinggi 1MDB yang masuk hari kedua.

Menurutnya, pertukaran itu mengambil tempat pada 25 September 2009 dan pada masa itu Najib adalah Perdana Menteri ke-6.

“TIA ditubuhkan pada 27 Februari 2009 sebelum ditukar kepada 1MDB. Syarikat tersebut adalah jenis berhad menurut syer syarikat awam,” katanya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.

Semalam, ketika kenyataan pembukaan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Gopal Sri Ram ajib Razak memainkan peranan penting menukar nama syarikat itu daripada TIA kepada 1MDB.

Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mendakwa bekas Perdana Menteri itu juga karakter utama dan ada pindaan dibuat dalam artikel syarikat untuk meletakkan Najib sebagai kawalan tunggal berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat.

Terdahulu, Rafidah diminta untuk mengenal pasti dokumen yang telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 Mei 2018 termasuk sijil pendaftaran TIA yang kemudiannya di tukar nama.

Perbicaraan bersambung ketika ini dengan saksi yang sama dan di jangka sehingga petang nanti. –MalaysiaGazette