Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Sambil menegaskan sudah banyak penangguhan bicara sejak beberapa minggu kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah enggan menurut kehendak pasukan pendakwaraya.

Kes penyewelengan yang masuk hari ke-2 itu telah diminta penangguhan sehingga Selasa depan oleh Ketua Pendakwaraya, Datuk Gopal Sri Ram namun ditolak hakim dan memintanya meneruskan perbicaraan dengan saksi.

Sri Ram memberikan penjelasan kepada Collin pihaknya ketika ini menjangka satu sesi panjang untuk pemeriksaan terhadap saksi ketujuh dengan adanya 177 buah dokumen perlu diberikan.

Bagaimanapun, Collin tidak bersetuju sambil memberitahu Gopal Sri Ram bahawa ketika ini telah ‘rugi banyak’ kerana sebelum ini beberapa kali perbicaraan terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada prosiding SRC International yang juga membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak perlu. Kita mulakan hari ini juga. Kita telah hilang beberapa hari kerana tangguh sebelum ini, kita sambung dengan saksi,” katanya muktamad.

Perbicaraan melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion itu kemudian bersambung dengan saksi ke-7 melibatkan pegawai Suruhanjaya Syarikat (SSM), Rafidah Yahya untuk memberikan keterangan.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Pekan berhadapan dengan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan sebanyak 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Najib dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) undang-undang yang sama.

Bekas perdana menteri itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –MalaysiaGazette