Dong Zong

PETALING JAYA – Pembatalan pendaftaran Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor yang diterajui Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim telah menimbulkan spekulasi bahawa keadaan itu mempunyai kaitan dengan isu pengajaran tulisan Jawi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi Dong Zong, Yang Yin Chong berkata, pihaknya akan meminta nasihat peguam untuk meneliti kedudukan Tai Kim sebagai pengerusi Dong Zong selepas pertubuhan anggota yang diterajui beliau di Johor dibatalkan pendaftarannya.

Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menolak kes Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor pada beberapa  bulan lalu dengan menyatakan ia dibawah kawalan Kementerian Pendidikan.

Katanya, Kementerian Pendidikan selepas itu bagaimanapun juga menyatakan persatuan itu bukan di bawah kawalannya.

Yin Chong berkata, pihaknya tidak menyangka pertubuhan anggota Dong Zong tersebut akan dibatalkan pendaftarannya selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkritik Dong Zong sebagai organisasi yang rasis.

“Tangan gelap politik telah masuk ke dalam Dong Zong dengan percubaan untuk mengawal Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

“Tujuannya ialah mengambil tindakan terhadap Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor, secara tidak langsung pula Dong Zong akan menerima kesan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Pengerusi Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor, Xiao Qing Zhang pula berkata, kerajaan tidak harus dipersalahkan dalam kejadian itu yang berpunca daripada Tai Kim sendiri.

Katanya, Tai Kim tidak mengatasi isu perlembagaan persatuan dan perwakilan secara proaktif sejak dua tahun lalu.

“Walaupun saya telah menulis surat dan mengeluarkan kenyataan meminta Tai Kim mengadakan mesyuarat agung khas, menjalanan pemilihan serta meminda perlembagaan persatuan, tetapi nasihat saya tidak diendahkan,” katanya.

Menurutnya, tanggapan bahawa pembatalan pendaftaran Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor mempunyai kaitan dengan isu tulisan Jawi adalah tidak benar, kerana persatuan itu berdepan masalah perundangan secara berpanjangan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.