KUALA LUMPUR – Saham AirAsia Group Bhd (AirAsia) merosot pada sesi pagi hari ini selepas mencatatkan keputusan suku kedua yang lemah bagi tahun kewangan 2019.

Pada 11.16 pagi, saham syarikat penerbangan tambang rendah itu turun tujuh sen kepada RM1.73 dengan 8.6 juta saham bertukar tangan.

Public Investment Bank dalam nota penyelidikannya berkata AirAsia merekodkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM17.3 juta pada suku kedua, kebanyakannya disebabkan perakuan kerugian semasa tahun-tahun lepas syarikat sekutunya, tidak diperakui bagi AirAsia India (AAI) berjumlah RM147 juta.

“Selain itu, selepas tidak memasukan item-item sekali lain termasuk keuntungan daripada tukaran asing, keuntungan nilai terhadap derivatif dan cukai ditangguhkan, keuntungan bersih utamanya bagi separuh tahun pertama 2019 berjumlah RM11.6 juta, kurang daripada unjuran konsensus setahun penuh kami, masing-masing menyumbang hanya 2.6 peratus dan 1.7 peratus,” katanya.

Ia berkata ketidaksepadanan itu kebanyakannya disebabkan oleh kos kewangan yang lebih tinggi diluar jangkaan impak daripada Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16.

Bagaimanapun, pendapatan AirAsia sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) dalam setahun penuh dianggarkan pada 48 peratus, menurut unjuran bank pelaburan tersebut.

Affin Hwang Investment Bank dalam nota berasingan berkata AirAsia mengendalikan 146 pesawat pada suku kedua, meningkat 22 peratus daripada 124 unit pada suku yang sama tahun lepas, ia diterjemahkan ke dalam peningkatan 19 peratus tahun ke tahun dalam kapasiti tempat duduk dan 17 peratus peningkatan pada tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK).

“Walaupun pihak pengurusan melakukan tugas yang baik dalam mengisi pesawat dengan faktor beban sebanyak 85 peratus pada suku kedua berbanding 86 peratus pada suku yang sama tahun lepas, bekalan tempat duduk lebih tinggi, ditambah pula dengan persaingan dari syarikat penerbangan lain, perolehan ASK (RASK) pada empat peratus tahun ke tahun, memperlahankan pertumbuhan 15 peratus dalam kos ASK (CASK),” katanya.

Ia berkata kos penyelenggaraan yang lebih tinggi (sehingga 105 peratus tahun ke tahun) berpunca daripada perkiraan perakaunan untuk pesawat-pesawat di bawah penyusunan jualan dan pajakan balik juga menyumbang kepada kenaikan dalam CASK.

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan persekitaran operasi yang sukar akan berterusan pada suku ketiga sebelum ia berkurangan pada suku keempat,” katanya.

MIDF Amanah Investment Bank dalam satu nota penyelidikan lain berkata pesawat lama AirAsia akan digantikan dengan Airbus A320neo baru dan A321neo bermula pada November 2019.

“Pesawat-pesawat ini mempunyai teknologi bahan api yang cekap dan canggih, ia dianggarkan menjimatkan simpanan bahan api sebanyak 15 peratus menjelang tahun kewangan 2020, dan diterjemahkan ke dalam kos lebih rendah bagi satu tempat duduk dengan 50 tempat duduk tambahan,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata pertumbuhan penumpang di Malaysia juga dijangka terus kukuh meskipun levi pelepasan dijadualkan mula berkuat kuasa pada September 2019, kerana levi yang diwartakan itu lebih rendah berbanding levi pelepasan dikenakan di Thailand dan Hong Kong.

“Bagi penerbangan tambang rendah seperti AirAsia, peratusan levi pelepasan daripada jumlah harga tiket masih tidak relevan pada sekitar 1.6 peratus secara purata untuk tambang biasa,” katanya.

Public Investment mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas AirAsia, tetapi mengurangkan harga sasaran kepada RM1.89 daripada RM2.33 sebelumnya.

Affin Hwang menurunkan saranan AirAsia kepada ‘simpan’ daripada ‘beli’ dan menurunkan harga sasaran kepada RM1.87 daripada RM3.35 sebelumnya.

MIDF Amanah mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas AirAsia, tetapi menyemak semula harga sasaran kepada RM2.08 daripada RM2.39.

— BERNAMA