Tan Kean Tet

PULAU PINANG – Sanbumi Holdings Berhad (Sanbumi Holdings atau Syarikat) telah mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi cadangan menukar nama kepada Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) pada mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Ia adalah sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan terlibat dalam perniagaan hartanah dan pelancongan.

Cadangan pertukaran nama kepada Iconic Worldwide adalah bertepatan kerana ia menggambarkan identiti korporat baharu dan imej syarikat, seiring dengan perubahan sedia ada dan rancangan masa depan syarikat.

Malah, cadangan tersebut juga merupakan sebahagian daripada inisiatif penjenamaan syarikat yang dilaksanakan oleh lembaga pengarah dan juga pengurusan kanannya.

Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019, Sanbumi mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.31 juta dengan perolehan sebanyak RM2.48 juta yang telah disumbangkan oleh penstrukturan operasi sedia adanya dan langkah menutup perniagaan yang mencatat kerugian.

Pengarah Eksekutif Sanbumi Holdings, Datuk Tan Kean Tet berkata, “Perubahan nama yang telah diluluskan kepada Iconic Worldwide akan memanfaatkan reputasi baik Iconic Group, yang mana ia kini merupakan salah satu pemain utama dalam pasaran hartanah di Pulau Pinang.

“Kami telah berjaya memuktamadkan dan menjual banyak projek hartanah dan pembangunan serta projek dan bercadang untuk mengulangi kejayaan tersebut untuk mengembalikan keuntungan kepada Sanbumi Holdings pula dalam masa terdekat ini,” katanya.

Dalam EGM itu juga, resolusi lain yang telah diluluskan ialah cadangan menjalin usahasama dengan Iconic Development Sdn Bhd bagi projek pembangunan bercampur yang dikenali sebagai Iconic Point yang melibatkan nilai pembangunan kasarnya (GDV) kira-kira RM127.81 juta.

Projek tersebut melibatkan pembinan 48 unit pejabat kedai tiga tingkat separuh berkembar, satu unit kedai pejabat berasingan tiga tingkat, hotel bajet setinggi empat tingkat dengan memiliki 48 bilik serta 3 unit kedai berasingan dua tingkat.

Projek itu akan dilancarkan pada 7 September ini.

Melalui pembinaan beberapa unit projek tersebut, Iconic Point dijangka menjadi pusat komersial utama di kawasan bandar baharu di Simpang Ampat.

“Sanbumi Holdings sebelum ini yang telah mencatat kerugian sejak tahun 2014 dengan segmen perkhidmatan berkaitan pelancongan telah menyumbang kepada perolehan syarikat.

“Selain mendapat kelulusan daripada pemegang saham untuk cadangan meluaskan perniagaan pembangunan hartanahnya pada tahun 2015, segmen ini masih belum menyumbang keuntungan kepada keputusan kewangan syarikat.

“Kami telah melaksanakan penstrukturan di dalam kumpulan untuk memberhentikan perniagaan yang mengalami kerugian dan seterusnya memberi tumpuan terhadap perniagaan yang menawarkan potensi bernilai tinggi, kata Kean Tet.

Melalui semangat baharu yang diperbaharui dan sokongan yang kuat daripada pemegang saham, cadangan kerjasama ini yang menjadikan syarikat kali pertama menceburi bidang pembangunan hartanah, bakal memberi impak positif kepada prestasi kewangan untuk jangka masa panjang,” tambah beliau.

Kean Tet telah menjadi pemegang saham terbesar dalam Sanbumi Holdings sejak bulan Januari 2019 dan kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pada bulan April lalu.

Beliau merupakan Pengasas dan juga Pengerusi Iconic Group, syarikat pemaju hartanah yang sedang berkembang pesat di utara dengan melibatkan pembinaan projek hartanah dengan GDV bernilai kira-kira RM500 juta manakala projek yang sedang dibangunkan pula memiliki GDV sebanyak RM80.6 juta. – MalaysiaGazette