Thursday, May 23, 2024
Home Nasional PNB enggan ulas

PNB enggan ulas

PNB
Permodalan Nasional Bhd.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) enggan mengulas isu pelantikan Jalil Rasheed, presiden dan ketua pegawai eksekutifnya yang baharu.

“Tiada sebarang kenyataan daripada PNB,” kata jurucakap institusi pelaburan itu.

Pelantikan Jalil yang menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad mengejutkan dan ia menjadi persoalan kerana Jalil lebih berpengalaman di luar negara berbanding di dalam negara.

Jalil, 38,adalah Ketua Pegawai Eksekutif Invesco bagi operasi di Asia Tenggara.

Invesco adalah sebuah firma pelaburan global utama berpangkalan di United Kingdom yang mengurus lebih AS$1.2 trilion dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25
negara.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai pelantikan Jalil kerana Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi PNB tidak memaklumkannya.

“PNB di bawah Zeti. Zeti tidak maklumkan kepada saya pun,” ulas Dr Mahathir ketika ditanya mengenai pelantikan Jalil semalam.

Kenyataan Dr Mahathir telah mencetuskan tanda tanya kerana perdana menteri itu adalah Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) 28 Ogos tahun lalu.

Malah, ia bercanggah dengan kenyataan PNB pada 28 Ogos lalu yang memaklumkan semua proses kelulusan bagi pelantikan yang diumumkan di peringkat Yayasan Pelaburan Bumiputra  dipengerusikan oleh Perdana Menteri, serta Lembaga Pengarah PNB dan juga pihak badan kawal selia.

Selain Dr Mahathir, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga adalah Pengerusi Alternatif YBP manakala Zeti dan Tan Sri Ambrin Buang turut berada dalam komposisi baharu yayasan tersebut.

YBP yang ditubuhkan pada tahun 1978 adalah pemilik PNB.

Kontrak Abdul Rahman dilantik menerajui PNB pada 1 Oktober 2016 menggantikan Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman yang bersara dijangka berakhir pada 30 September depan sebelum jawatan tersebut diserahkan kepada Jalil mulai 1 Oktober.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif di Sime Darby Berhad menggantikan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Peneraju PNB sentiasa mendapat perhatian kerana ia adalah institusi pelaburan yang unik kerana ia berperanan memberi peluang kepada rakyat untuk berkongsi kekayaan negara menerusi pelaburan yang berisiko minimum.

Lebih daripada itu, PNB adalah institusi yang bukan sekadar berasaskan keuntungan semata-mata tetapi menggalas tanggungjawab besar dalam meningkatkan ‘kekayaan’ ekonomi bumiputera melalui pemilikan saham.

Bagi mencapai maksud tersebut, PNB setakat ini telah menguruskan 12 unit saham amanah dengan sebahagian besarnya diperuntukkan khusus untuk kaum bumiputera. – MalaysiaGazette