Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib sidang media kejayaan kes bunuh pasangan warga emas yang ditemui mati dalam beg pakaian di Subang Shah Alam.

SHAH ALAM – Siasatan polis mendapati mangsa bunuh warga emas Lim Ah Lee@Lim Kok Hoe, 79, dibunuh dua suspek warga Punjab, India pada lewat malam 23 Ogos lalu sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg pakaian di rumah mangsa di Seksyen 27 di sini.

Isteri mangsa, Tan Siew Mee atau Emily, 52, yang pulang dari bekerja turut dibunuh pada awal pagi 24 Ogos setelah menyedari ketiadaan suaminya.

Sama seperti mayat Ah Lee, mayat Siew Mee juga dimasukkan dalam beg pakaian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kedua-dua suspek yang menyewa di kondominium One City milik pasangan suami isteri itu disyaki membawa kedua-dua bag berisi mayat itu dengan menggunakan motosikal Honda EX5.

Katanya, suspek mencampak beg-beg itu di sebuah parit di Persiaran Kuala Selangor dan longkang berhampiran stesen LRT Alam Mega, Putra Heights di Subang.

Tambah beliau, polis menemui mayat Siew Mee menerusi gerakan memburu suspek adik beradik yang berasal dari Punjab, India itu manakala penemuan mayat Ah Lee melalui panggilan telefon daripada juruteknik syarikat telekomunikasi.

“Kedua dua suspek berusia 19 dan 24 tahun itu ditangkap oleh pasukan D9 IPD Subang di kawasan Subang dan D9 IPD Shah Alam berhampiran Kota Kemuning ketika cuba melarikan diri selepas melihat kehadiran polis.

“Hasil siasatan mereka membawa polis ke lokasi kedua di Putera Hights sebelum menemui mayat suami mangsa wanita itu yang pada awalnya dicari polis untuk membantu siasatan dan kes dianggap berjaya diselesaikan setelah tertangkap kedua dua suspek itu,” katanya pada sidang media di sini.

Pada Isnin lalu, polis menemui mayat wanita dalam sebuah beg pakaian dalam sebuah parit di Persiaran Kuala Selangor Seksyen 27 Shah Alam.

Semalam, polis menemui mayat lelaki yang disumbat dalam sebuah beg pakaian di Longkang berhampiran Stesen LRT Alam Megah jam 5 petang

Hasil bedah siasat mendapati wanita itu mati akibat kecederaan akibat tikaman di abdomen selain mempunyai kesan kelar di lehernya dengan menggunakan senjata tajam.

Proses bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang mendapati tubuh mangsa dikesan mempunyai 13 kesan tikaman pada dada serta perut dan kesan kelar di leher.

Tambah beliau, selepas membunuh kedua dua mangsa, suspek telah mencampakkan beg komputer riba warna kelabu yang mengandungi senjata dan pakaian mereka yang mengandungi kesan darah.

Beg komputer riba itu dijumpai kira kira 3 kilometer dari lokasi mayat lelaki warga emas itu ditemui.

Menurutnya Baharudin, motif kejadian masih disiasat dan kedua dua suspek dipercayai datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan setahun lalu dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, kedua dua suspek tinggal bersama kedua mangsa itu sebulan sejak enam bulan lalu.

Sementara itu, Baharudin berkata, mayat masih belum dituntut ahli keluarga.

Ah Lee berasal dari Georgetown, Pulau Pinang manakala Siew Mee yang bekerja sebagai pengurus sebuah restoran di Subang Jaya berasal dari Pokok Sena Kedah.

Kedua dua suspek disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan direman sehingga 5 September untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette