Alvin Kennard, duduk di tempat duduk dalam mahkamah sebelum mendengar keputusan pembebasannya. foto AP

ALABAMA – Seorang hakim memerintahkan seorang lelaki yang merompak sebanyak AS$50.75 di sebuah kedai bakeri dibebaskan daripada hukuman seumur hidup.

Banduan, Alvin Kennard, 58, telah dikenakan hukuman tersebut di bawah undang-undang keras yang diperkenalkan pada tahun 1970an untuk mengelakkan pesalah mengulangi kesilapan.

Keputusan itu menimbulkan reaksi emosi dari rakan dan keluarga, yang telah melawat Kennard sepanjang penahanannya.

Peguamnya, Carla Crowder berkata, Kennard gembira dengan peluang yang diberikan kepadanya.

Kennard juga sudah merancang untuk kembali bekerja sebagai tukang kayu.

Pada tahun 1983, semasa berusia 22 tahun, Kennard melakukan rompakan di kedai bakeri menggunakan sebilah pisau. Meskipun tiada siapa yang cedera dalam kejadian itu, tertuduh dikenakan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

Beliau sebelum ini mengaku bersalah terhadap pencurian, bermakna dia telah melanggar Akta Kesalahan Jenayah Habitual yang lama.

Undang-undang itu kini telah diubah bagi membolehkan banduan yang melakukan kesalahan tersebut dibebaskan.

Muncul dalam pakaian seragam penjara, Kennard memberitahu hakim bahawa dia bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya.

Kennard telah menjalani hukuman lebih 20 tahun. – MalaysiaGazette