Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melaungkan merdeka pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia keseluruhanya perlu membantu kerajaan mengekal perpaduan antara kaum sebagai langkah mensejahterakan negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mengekalkan perpaduan di dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakt berbilang kaum bukanlah satu perkara mudah kerana ia memerlukan komitmen daripada semua pihak terutama rakyat terbanyak.

Katanya, perpaduan yang disemai pula boleh diterjemah melalui sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan setiap tahun sebagai usaha memupuk rakyat agar sentiasa menyayangi negara.

Setiap hari kebangsaan adalah peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat kesiapsiagaan pasukan pertahanan dan juga aset yang dipersembahkan.

“Kita mesti kena wujudkan sebuah negara yang bersih, berintegriti, membawa Malaysia ke persada yang lebih tinggi dan tema yang digunakan iaitu Sayangi Malaysia dan Malaysia bersih adalah satu slogan yang sangat baik

“Saya harap negara kita akan maju ke depan dan kembali menjadi Harimau Asia,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Anthony menambah, dalam hal berkenaan kerajaan sentiasa memberikan fokus dalam bentuk kebersamaan dan itu merupakan cabaran yang perlu diharungi.

Katanya, beliau yakin kerajaan akan tetap mempertahankan perkara itu demi menjaga perpaduan yang telah dinikmati sejak bertahun lamanya.

“Sempena hari kebangsaan ini kita mahu mengingatkan kepada semua bahawa perpaduan antara kaum adalah sesuatu yang sangat bernilai dan kita tak boleh berkompromi dengan sesiapa yang cuba mencemarkannya.

Harap rakyat Malaysia akan terus membantu negara mara ke depan, itu harapan kita bersama,” ujarnya.

Sementara itu Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan di seluruh negara pada hari ini sangat istimewa selepas pentadbiran baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana, sambutan yang diadakan pada tahun lepas sangat baharu kepada PH dan kali ini kesediaan dapat dilihat apabila perjalanan program berjalan lebih lancar dan meriah.

“Hari ini ada dua perkara penting ditonjolkan iaitu yang pertama soal Malaysia bersih dan membasmi rasuah

“Dan yang kedua kita sudah mula melaungkan bangkit Harimau Asia seolah-olah kita menyuntik semangat baharu untuk kita kembalikan kegemilangan negara di persada Asia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.