Najib Razak

KUALA LUMPUR – Saksi ke-8 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion di jangka mendedahkan lebih banyak maklumat berkaitan ahli perniagaan dalam buruan pada masa ini iaitu Low Taek Jho atau Jho Low.

Hari ini sudah masuk hari ke-4 perbicaraan kes berprofil tinggi itu dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih memegang jawatan pada masa itu.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Saksi, bekas pegawai khas kepada Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang sudah mula memberikan keterangan bertulis sejak semalam mendedahkan peranan serta kuasa luar biasa oleh Jho Lo yang dikatakan menjadi ‘penasihat tidak rasmi’ kepada Najib.

Semalam, Amhari mendedahkan selain menguruskan syarikat itu, Jho Low turut menjalankan tugas-tugas khas belakang tabir yang tidak diketahui oleh pihak luar membabitkan banyak perkara termasuk program antarabangsa, lawatan kerja, cadangan perniagaan dan dasar serta kerja-kerja kebajikan.

Amhari yang bekerja di Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum di pinjamkan ke Bahagian Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Jho Low juga merupakan pencatur dalam urusan pelaburan, rundingan antara kerajaan atau ‘G to G’ serta pencatur politik Najib termasuk dana-dana yang diperoleh oleh bekas perdana menteri berkenaan.

“Setiap arahan yang diberikan oleh Jho Low perlu dilaksanakan kerana saya percaya beliau telah mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Najib.

“Saya tidak pernah mempersoalkan setiap arahan itu, namun ada kalanya dan bila perlu, Allahyarham Datuk Azlin Alias, yang ketika itu bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib atau saya sendiri pernah bertanya semula kepada Najib tentang arahan tersebut untuk mendapatkan kepastian.

“Selalu Najib sudah sedia maklum dengan arahan yang diberikan oleh Jho Low kepada kami ketika pertemuan dengannya yang diadakan pada sebelah malam di Hotel Prince Kuala Lumpur.

“Najib juga ketika di tanya hanya akan meminta kami mematuhi arahan tersebut,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib semalam.

Amhari merupakan seorang daripada saksi penting berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Selain daripada itu, Amhari juga mendedahkan cadangan penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) adalah arahan Najib kerana ia projek ‘baby’ bekas perdana menteri itu melalui idea Jho Low.

“Pada penghujung 2008, saya menerima mesej daripada Jho Low melalui Black Berry Messenger (BBM) yang mengatakan, ‘I’ve got approval or blessing from Datuk Seri Najib for you to join meeting for TIA’.

“Saya diberitahu untuk turut serta dalam mesyuarat bagi membincangkan cadangan penubuhan TIA bagi mewakili Najib yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

“Saya bertanya kepada Najib sendiri dan beliau memberi pengesahan supaya saya menghadiri mesyuarat tersebut. Saya juga ada meminta pendapat Datuk Seri Ab Aziz Kassim, iaitu Ketua Setiausaha Sulit Najib pada masa tersebut, dan Azlin. Mereka menasihatkan saya untuk mengikut arahan yang diberikan Najib,” dedahnya.

Perbicaraan akan bersambung sebentar lagi sekitar jam 9.15 pagi dengan Amhari menyambung membaca kenyataan olehnya. –MalaysiaGazette

1MDB: Jho Low ada kuasa luar biasa, rapat dengan Najib dan Rosmah – Saksi

Allahyarham Azlin tinggi suara, tertekan kerana 1MDB