Air Selangor water tariff
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang yang sebelum ini dihenti tugas sementara akibat gangguan bekalan elektrik, beroperasi sepenuhnya awal pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bekalan air telah mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna bermula pukul 5 pagi.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air. Air Selangor terus giat menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terlibat bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Air Selangor memaklumkan telah menghenti tugas sementara LRA Labohan Dagang akibat gangguan bekalan elektrik yang disebabkan oleh kerja-kerja pembaikan kecemasan peralatan elektrik di Sub Stesen Utama Olak Lempit oleh pihak Tenaga Nasional Berhad.

Tindakan itu menyebabkan sebahagian kawasan di wilayah Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pukul 10 malam tadi.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/. – Bernama